Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday 24 August 2014

Aku Memilih Setia - Bab 2 (Version 2.0)

PEMBACAAN Arianna terganggu dengan kemunculan Mira. Terkocoh-kocoh gadis genit itu menghampirinya dengan senyuman lebar yang terukir di wajah. Wajah yang sentiasa mempamerkan roman ceria. Bagaikan langsung tiada masalah yang singgah di jiwa. Kadang terdetik juga di hati alangkah indah kalau dia juga mampu  menjadi seperti Mira.
“Kak Anna, Mira ada good news ni,” bisik Mira perlahan. Dia melabuhkan duduk, bersila di sebelah Arianna di atas lantai.
Good news?” Arianna mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Ha’ah. Pasal novel terbaru Luna Jiwa tu.”
“Kenapa? Stok novel tu dah sampai ke?” Pantas Arianna memangkas. Nampak sangat dia tak sabar.
“Bukan. Novel tu paling awal pun memang akan sampai minggu depan,” balas Mira.
“Habis tu?”
“Tadi Mira terdengar perbualan boss dengan wakil publisher Tinta Emas. Luna Jiwa akan datang ke sini untuk promosi novel ‘Aku Memilih Setia’ tu,” beritahu Mira teruja.
“Bila?” Arianna turut teruja mendengar perkhabaran itu.
“Apa yang Mira dengar, kemungkinan besar dalam minggu depan. Nanti Mira confirm dengan akak balik. Akak…akak tahu tak apa maknanya semua ini?” Mira menjongketkan kedua belah alis keningnya yang cantik terbentuk.
“Maknanya minggu depan akak dah boleh beli novel itulah kan? Tak sabarnya,” tebak Arianna dengan anak mata yang bersinar.
“Yang itu memanglah. Tapi ini makna yang lain,” keluh Mira menepuk dahinya.
“Makna lain apa pula? Akak tak fahamlah, Mira..”
“Maknanya penulis Luna Jiwa tu akan datang ke sini dan reveal diri dia pada umum. Akak tak rasa teruja ke nak kenal penulis kegemaran akak tu?” jawab Mira bersungguh-sungguh.
“Ooo…kalau kata teringin tu naklah juga tengok siapa Luna Jiwa tu. Tapi kalau nak kata teruja..akak lagi teruja nak baca novel dia,” ujar Arianna sambil menggariskan senyum.
Aku Memilih Setia. Sudah lama dia menantikan kemunculan novel yang sebelum ini dia ikuti dalam blog peribadi Luna Jiwa. Kisah yang dirasakannya begitu sinonim dengan perjalanan hidupnya kini. Sering kali dia dihadapkan dengan kebuntuan bila berada di persimpangan untuk membuat pilihan. Memilih di antara cinta yang telah lama pergi atau setia pada suami yang dinikahi tanpa sekelumit rasa cinta di hati. Sungguh dia mengharapkan karya itu mampu merelaikan simpulan dilema di jiwa.
“Macam tu eh. Tapi…kenapa Mira pula yang tiba-tiba terasa excited nak jumpa Luna Jiwa ni, Kak?” tanya Mira dengan jari-jemarinya melurut dagu.
“Mira rasa macam tak sabar je nak tenung puas-puas wajah handsome Luna Jiwa tu. Bukannya Mira tak pernah tengok lelaki handsome sebelum ni. Tapi dengan Luna Jiwa ni Mira rasa lain macam.” Kata-kata polos Mira mengundang gelak nipis di bibir Arianna. Lucu betul si Mira ini.
“Biasalah. Mira kan muda lagi. Orang muda ni selalunya terlebih excited. Nak-nak kalau bercakap pasal lelaki handsome. Hormon gatal tengah naik kan?” Arianna mengusik.
Siapa yang tak teruja bila disogokkan dengan sesuatu yang indah di mata. Dia juga pernah melalui fasa gadis remaja seperti Mira. Dan kerana rasa itulah dia mula belajar mengenal erti sebuah cinta.
“Ooo…akak mengata Mira gatal ya?” Mira menjegilkan matanya sambil bercekak pinggang. Pura-pura marah.
“Bukan ke gadis muda yang belum kahwin macam Mira ni hormon estrogen tu terlebih sikit? Macam akak yang dah tua ni lainlah.” Arianna masih giat mengusik. Seronok dia melihat wajah Mira yang sedikit cemberut.
 “Eleh..macamlah akak tu tua sangat. Beza beberapa tahun je kot,” cebik Mira.
“Mana tahu akak ni tua beberapa tahun je dari Mira?”
“Tengok muka pun Mira tahulah, Kak. Akak ni baru pertengahan dua puluhan kan?” Mira meneka. Wajah putih bersih wanita di depannya itu ditenung. Arianna memang punya seraut wajah yang cantik. Apatah lagi bila dia tersenyum begitu.  
Arianna hanya tersenyum. Sengaja dia tidak mahu menjawab tebakan Mira yang hampir mengena itu.
“Betul kan?” soal Mira lagi.
 “Entah.” Arianna jongket bahu. Dia pura-pura menyambung semula pembacaannya yang terhenti.
“Akak ni sajalah tu tak nak beritahu umur dia. Tak apa..tahulah Mira nanti nak korek dekat mana,” gumam Mira dengan wajah yang tak puas hati.
Sekali lagi Arianna meledakkan tawa. Namun tawanya mengendur bila telefon bimbitnya berdering pendek menandakan ada kiriman pesanan ringkas yang baru masuk. Dia mencapai telefon di dalam tas tangan.
Skrin telefon disentuh. Ada dua kiriman SMS daripada Affan. Lelaki yang telah dinikahi sejak tiga bulan yang lalu. Lelaki yang terpaksa diterimanya atas pilihan keluarga.
“Okeylah, kak. Mira nak sambung kerja balik.” Mira bangkit. Tidak mahu mengganggu Arianna yang begitu leka menatap skrin telefon bimbitnya.
“Okey,” balas Arianna sepatah tanpa mengalihkan pandangan. SMS pertama dibuka.

You pergi mana?

Mesej kiriman ringkas itu dibaca dengan kerutan di dahi. Entah angin apa yang menghantui Affan, tiba-tiba seawal pagi bertanyakan ke mana dia pergi. Selalu lelaki itu tidak pernah ambil peduli tentang dirinya. Tanpa membalas mesej yang pertama, dia membuka pula kiriman SMS yang kedua.

Petang nanti papa, mama dan Tok Wan nak datang ke rumah berbuka puasa. Make sure you ada di rumah sebelum dia orang sampai. Siapkan dan kemas apa yang patut.

Arianna melihat jam di pergelangan tangan. Waktu sudah hampir menginjak ke tengah hari. Dia bingkas bangun. Nampaknya hari ini dia tidak boleh berlama di situ seperti selalu. Dia perlu segera pulang ke rumah untuk menyambut kedatangan keluarga mertuanya.

Ok.

Arianna menaip dua patah huruf itu untuk membalas mesej Affan. Namun, belum sempat jarinya menekan butang hantar, telefonnya berdering nyaring menandakan ada panggilan masuk. Terpampang nama Affan di skrin besar telefon bimbitnya. Telefon ditekapkan ke telinga.
You kat mana?” Suara garau Affan menyapa gegendang telinganya. Seperti biasa tiada riak kemesraan dalam setiap patah bicara yang keluar dari mulut lelaki itu.
“I dekat Kinokuniya bookstore,” balas Arianna jujur.
“Next time kalau you nak ke mana-mana minta izin dengan I dulu. At least inform I sepatah,” pesan Affan tegas.
Arianna terkedu. Dia pelik dengan permintaan suaminya itu. Sedangkan seawal usia perkahwinan mereka dulu, Affan sendiri yang memberi kebebasan kepadanya untuk ke mana sahaja tanpa perlu meminta izin darinya terlebih dahulu.
You dah baca mesej I?” soal Affan menyambung bicara apabila Arianna hanya menyepikan diri di hujung talian.
“Dah.”
Sepatah kata yang diungkapkan Arianna mengundang keluhan kecil Affan. Entah kenapa setiap kali berbicara, Arianna begitu kaku dan beku. Sedangkan dia tahu isterinya itu tidak begitu dengan orang lain. Arianna adalah seorang wanita yang mudah mesra dengan sesiapa saja tapi bukan dengan dirinya. Mungkin dia silap percaturan dalam melayan Arianna selama ini. Sehingga membuatkan isterinya tidak selesa bila bersamanya.      
Lauk basah dalam peti ais masih banyak lagi kan?” Affan bertanya lagi. Sengaja dia merendahkan intonasi suara.
“Hmmm…”
You nak masak apa berbuka nanti?” Ramah Affan bertanya sehingga membuatkan Arianna menatap pelik skrin telefon bimbitnya. Betulkah lelaki yang sedang berbicara dengannya saat itu adalah Affan? Suaminya yang selama ini bagai hendak tak hendak saja bila bercakap dengannya?
Hello, are you still there?” Sayup terdengar suara Affan di hujung talian.
Arianna kembali menekapkan telefon ke telinga.
“Ya..err.. I tak tahu lagi nak masak apa. You ada suggestion ke?”
Affan tersenyum nipis dengan pertanyaan Arianna. “You pernah masak ikan merah masak lemak cili api tak?”
“Pernah.”
“Hmm… Kalau macam tu you masak lauk tu untuk berbuka nanti. Tok Wan mesti suka sebab itu lauk kegemaran dia,” pinta Affan.
“Okey.”
“Petang ni I cuba balik awal. Lepas meeting je I terus balik,” beritahu Affan masih cuba memancing bicara Arianna.
“Hmmm...”
One more thing, jangan lupa angkut semua baju dan barang you masuk ke dalam bilik I.“ Kata-kata Affan kali ini berjaya membuatkan Arianna menegakkan tubuhnya.
“Huh? Perlu ke?” tanya Arianna.
“Yup. We have no choice sebab Tok Wan nak bermalam di rumah kita dua tiga hari. Mama dan papa juga.”
Bicara Affan mengundang keluhan Arianna. Bukannya dia tidak suka keluarga mertuanya bermalam di rumah mereka. Lagipun dia tiada hak untuk menghalang bila mereka nak datang melawat anak dan cucu sendiri. Tapi kehadiran mereka bermakna dia terpaksa tidur sebilik dengan Affan. Bermakna juga dia dan Affan kena berpura-pura hidup bahagia seperti pasangan suami isteri normal yang lain sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu.
“Yalah. Nanti I pindahkan semua barang tu.” Arianna terpaksa akur.
Affan menggariskan senyum. Inilah peluang yang dia nantikan selama ini. Peluang untuknya mendekati Arianna. Menjadikan Arianna miliknya yang mutlak. Apalah guna perkahwinan yang mengikatnya dan Arianna andai masing-masing hidup terasing.
Arianna adalah isterinya yang sah. Dinikahi dengan bersaksikan ijab dan kabul. Biarpun mereka berkahwin atas pilihan keluarga tetapi sampai bila dia harus biarkan hubungan yang suci itu terus berlalu sepi tanpa disulam rasa cinta dan sayang. Cukuplah tempoh tiga bulan dia memberikan ruang kepada Arianna untuk menerima ikatan pernikahan mereka. Ruang yang ternyata disia-siakan Arianna kerana semakin hari isterinya itu semakin jauh darinya.
“Errr..you ada dekat situ lagi ke?” Teguran Arianna memangkas lamunan pendek Affan.
“Ya, sayang. I’m still here.
Arianna telan liurnya pahit. Meremang bulu roma dengan perkataan ‘sayang’ yang meniti di bibir Affan. Arghhh…mungkin Affan tak sengaja tersasul.
“Errr..selalunya mama dan papa suka makan apa?”
Melebar senyuman di bibir Affan. Getar suara Arianna jelas menunjukkan isterinya itu sedang menahan gugup. Kalaulah dia dapat melihat, pasti wajah cantik itu sedang berbahang merah.
“Hmmm…mama dan papa suka makan kari ikan merah. Setiap hari lauk kari mesti ada dalam menu,” cerita Affan ceria. Dia senang dengan kesudian Arianna untuk mengambil tahu lauk kegemaran kedua orang tuanya.
“You tahu masak kari ke?”
“Tahu,” akui Arianna.
“Sempat ke kalau you masak kari juga?”
“Sempat.”
One more thing. Kalau boleh you tumbuk sambal belacan dan masak sayur campur sekali.” Affan membuat pesanan.
“Okey,” balas Arianna tanpa banyak soal. Otaknya ligat memikirkan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak dua lauk kegemaran keluarga mertuanya itu.
“Bahan-bahan nak memasak cukup tak? Kalau tak cukup petang nanti kita keluar shopping sekejap.” Affan mempelawa. Idea untuk keluar membeli-belah berdua berjaya mengundang senyum di bibirnya. Pasti seronok!
“Err...cukup.” Pantas Arianna menjawab. Keluar shopping berdua dengan Affan? Dia lebih rela kalau terpaksa membeli belah seorang diri. Lagipun kalau ada bahan yang tak cukup, nanti dia singgah saja di Cold Storage.
“Hmmm..” Nada suara Affan sedikit kecewa.
“Ada apa-apa lagi yang you nak pesan?” soal Arianna memberi isyarat untuk menghentikan perbualan. Sungguh dia agak kekok bila berbicara dengan Affan.
Are you sure you boleh masak semua lauk tu?” tanya Affan sedikit ragu.
“Boleh.”
“Mama tu cerewet sikit kalau bab makan ni. Kalau tak pun on the way balik nanti, I boleh beli lauk kari tu kat kedai je.” Runsing Affan. Masakan dia tak runsing. Dia sendiri tidak pernah melihat Arianna memasak lauk-lauk itu sebelum ini.
“Semua bahan mentah dah ada dekat dapur tu. Membazir pula kalau you beli lauk kedai. I masak jelah dulu. Kalau tak sedap nak buat macam mana,” balas Arianna mudah.
“Hmmm..if you said so.”
“Okey. I letak telefon dulu. Bye,” pamit Arianna terus menekan butang merah yang tertera di dada skrin telefon.
Matanya melilau mencari kelibat Mira namun tubuh genit itu langsung tidak kelihatan. Lantas dia memperkemaskan langkah menuju ke pintu keluar untuk mendapatkan teksi. Banyak tugas yang perlu dibereskan sebelum keluarga mertuanya datang menjengah di muka pintu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda..