“Jauhnya isteri abang ini mengelamun…”
Desah nafas yang menyapa cuping telinga ‘Aisy membawanya ke alam
nyata. ‘Aisy berpaling ke kanan. Bulat matanya memandang wajah Harris yang
hanya beberapa inci saja dari wajahnya. Entah sejak bila lelaki itu masuk ke
dalam bilik tidurnya.
Terkejut dengan situasi itu, ‘Aisy bingkas bangun dari
perbaringan. Namun belum sempat dia berjaya menjarakkan diri, pinggangnya
dirangkul kemas oleh tangan sasa milik Harris. Tubuhnya kembali dibaringkan dan
kini Harris selesa berbaring bertongkatkan siku di sebelahnya.
“Awak ini kenapa? Dah buang tabiat?” Suara ‘Aisy sedikit meninggi.
Namun cuba dikawal agar tidak didengar ahli keluarga yang lain. Kesabaran yang
dipertahankan sejak dalam penerbangan tadi dirasakan semakin menipis. Harris
semakin melampau dan berani.
“Get your hand off me!”
Sekuat tenaga ‘Aisy menepis kasar tangan kanan Harris yang kemas
melingkari pinggangnya. Namun dengan mudah Harris mematahkan serangannya. Kemas
jari-jemari ‘Aisy berada di dalam genggamannya. Keadaan itu membuatkan
pergerakan ‘Aisy terkunci, lalu memberi peluang kepada Harris untuk merapatkan
tubuhnya.
“Salah ke abang nak bermanja dengan isteri sendiri?” Serak suara
Harris menggambarkan perasaan yang sedang menggelodak di jiwa.
“Tepilah! Awak tak ada hak buat saya macam ini!” Tolak ‘Aisy.
Matanya mencerlung tajam ke arah Harris. Sungguh dia geram dengan tindakan
Harris.
“Of course abang
ada hak, sayang. I’m your
husband.” Tenang bicara Harris. Jelingan tajam ‘Aisy langsung tidak
berbekas di hatinya. Malah semakin mengocak hebat debaran di dadanya.
Keinginannya tambah membuak.
“Awak bukan suami saya lagi…” Suara ‘Aisy mengendur. Dia tahu
kata-kata penafiannya itu hanyalah sia-sia biarpun berulang kali dia
mengungkapkannya.
Penafian ‘Aisy hanya mengundang senyuman sinis di wajah Harris.
‘Aisy adalah isterinya dan sebagai suami dia punya hak ke atas ‘Aisy.
“Sayang pun tahu hakikat yang sebenarnya kan?” Tanpa mengendahkan
penolakan ‘Aisy, Harris mendekatkan wajahnya. Jari-jemarinya mengusap lembut
pipi gebu milik ‘Aisy. Setiap inci wajah isterinya diperhatikan dengan penuh
kasih. Pandangannya terhenti pada seulas bibir merah ‘Aisy. Gelora di jiwanya
semakin membara. Lantas dirapatkan bibirnya mendekati bibir basah ‘Aisy.
Ciuman Harris hanya sipi mengenai rambut ‘Aisy apabila wanita itu
bertindak melarikan wajah. Keadaan itu membuatkan Harris bertambah tidak
keruan. Haruman rambut ‘Aisy semakin menyemarakkan keinginannya untuk mengisi
kesepian seorang suami yang telah lama kosong. Rindu dendam yang
terpendam sudah tidak mampu disimpan.
“Lepaskan saya, Harris! Awak tak boleh paksa saya macam ni.” Gumam
‘Aisy sambil menolak tubuh Harris sekuat hatinya. Namun apalah sangat kudrat
seorang perempuan yang dimilikinya.
Jantungnya berdegup kencang menahan debar. Keberaniannya sedikit
pudar tatkala Harris memeluknya erat. Seram sejuk tubuhnya berada dalam dakapan
lelaki itu sehingga membuatkan nafasnya mula tersekat.
“I miss you so much, sayang.” Semakin galak Harris menggoda
dengan kata-kata romantis. Dia semakin terbuai asyik dalam kerinduan dan
keinginannya yang menggebu.
Anak rambut ‘Aisy yang berjuraian di dahi diseka perlahan.
Jari-jemari Harris kembali meniti di setiap inci wajah ‘Aisy dan kemudian turun
ke pangkal leher.
“Jangan buat saya macam ni, Harris.” Pohon ‘Aisy dalam suara yang
sedikit bergetar. Ketakutan mula menguasai diri. Sedaya upaya dia menepis
tangan Harris yang semakin galak merayap di segenap tubuhnya.
“I love you so much, sayang. Please be mine.” Bisik Harris
lembut. Desah nafasnya beralun tidak sekata. Detak jantungnya sudah kehilangan
rentak. Menggambarkan gelodak di jiwa yang semakin gagal membendung rasa.
‘Aisy menelan liur pahit. Perlakuan Harris benar-benar mengundang
gigil ke segenap urat nadinya. Mampukah dia memenuhi keinginan Harris setelah
apa yang telah dilakukan lelaki itu padanya? Pantas dia menggelengkan kepalanya
berulang kali.
“Saya tak boleh…Saya..saya tak boleh. Jangan layan saya macam ni,
Harris.” Ujar ‘Aisy separuh merayu. Dia berusaha meraih simpati Harris,
mengharapkan pengertian lelaki itu. Namun ternyata cubaannya gagal.
Harris semakin hilang dalam kerinduannya yang tidak bertepi. Dia
mengelus lembut rambut ikal milik ‘Aisy dan dibawa ke hidungnya. Sungguh
mengasyikkan!
“Tolong jangan paksa saya, Harris.”
‘Aisy terperangkap. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Tidak
mungkin dia bisa menjerit kerana jeritannya pasti hanya akan mengeruhkan lagi
keadaan.
“Abang tak memaksa sayang. Abang cuma menuntut hak abang sebagai
suami. Abang ada hak kan?” Harris menyoal sambil membenamkan wajahnya ke leher
jinjang ‘Aisy. Semakin galak bibir itu bermain di situ.
‘Aisy mengetap bibir. Kata-kata Harris mengundang bara di jiwa.
Semakin hangat mencengkam dada. Mudah sungguh Harris berbicara soal hak.
Menuntut hak hanya semata-mata untuk melunaskan keinginannya. Hanya demi untuk
memuaskan nafsu lelaki yang satu itu!
“Hak apa lagi yang tinggal apabila awak sendiri sanggup membuang
saya dalam hidup awak? Dan hak apa lagi yang awak ada saat awak menghina zuriat
awak sendiri semahunya?” ‘Aisy menolak kasar tubuh Harris. Berombak dadanya
menahan amarah. Tajam anak matanya memanah sepasang mata helang milik Harris
sebelum menyambung kata.
“Awak dah lama hilang hak itu, Harris! Sebesar kuman pun awak tak
ada hak ke atas saya.” Herdik ‘Aisy dengan pandangan mata yang berapi. Kerana
dendam dan benci yang tertulis kemas dalam catatan sejarah hidupnya, dia tega
menafikan kewajipannya sebagai seorang isteri. Meletakkan dirinya dalam keadaan
yang cukup berdosa.
Harris mendengus kasar. Penolakan demi penolakan membuatkan egonya
tercabar. Maruah lelakinya dirasakan bagai diinjak tatkala ‘Aisy berterusan
menolaknya dengan hamburan kata sindiran yang cukup pedas. Memang silap besar
apabila ‘Aisy mempersoalkan tentang haknya sebagai suami. ‘Aisy adalah
isterinya yang sah dan halal buatnya.
“Jangan pandai buat hukum sendiri, ‘Aisy. Hak abang kekal ada dan
akan tetap ada sampai bila-bila. Biarpun sejuta kali bibir ‘Aisy menafikan.”
Harris mengeraskan suara.
“Don’t be so sure, Harris.” Bangkang ‘Aisy tidak mahu
mengalah.
“I am damn sure, sayang. And tonight I’m going to prove it!” Tekad Harris
bertegas. Dek hanyut dalam rindu yang menggebu dan ego yang tercabar membuatkan
Harris semakin rakus. Semakin jauh tersasar dari landasan pertimbangan. Dia
hilang kawalan diri.
Seluruh wajah ‘Aisy menjadi sasaran cumbuan Harris. Mengundang
getar di tubuh ‘Aisy dek ketakutan yang mula sarat bersarang di jiwa. Matanya
mula basah dengan takungan air mata. Bayang kenangan empat tahun lalu kembali
terlakar di ruang mata. Dia memejamkan mata ingin menghalau kenangan itu
daripada terus bertamu. Namun, kenangan itu semakin rapat menghimpit ruang
ingatannya.
“Jangan buat saya macam ni. Saya merayu, Harris.” Air mata mula
menitis di pipi ‘Aisy. Menyedari dia sudah mencabar kesabaran Harris.
Rayuan ‘Aisy tidak dipedulikan Harris. Bagaikan mencurahkan air di
atas daun keladi. Langsung tidak meninggalkan kesan. Kasih sayangnya yang
menggunung membuatkan dia bertekad untuk membuktikan ‘Aisy masih hak miliknya
yang sah. Sehingga tanpa sedar dia semakin menyakiti hati yang sepatutnya
diubati. Dia lupa kasih sayang hadir dengan kerelaan dan bukannya paksaan.
‘Aisy semakin hebat meronta tatkala tingkah Harris semakin berada
di luar batas kawalan. Dia benci dengan sejarah pahit yang pernah dilakarkan
Harris dalam hidupnya. Dan dia tidak tega membiarkan rasa benci dan dendam itu
terus mekar bercambah dek palitan kenangan hitam yang lain pula. Cukuplah
sekali dia perlu melalui saat kesakitan itu. Tidak sanggup dia mengulanginya
lagi.
Dalam cumbuan Harris yang semakin menggila, ‘Aisy tidak berputus
asa mencari peluang untuk melepaskan diri dari pelukan suaminya. Sedaya upaya
dia meronta mengerahkan seluruh kudratnya.
Pang! Harris terkaku. Entah dari mana ‘Aisy memperoleh kekuatan
melepaskan tamparan ke pipi Harris. Dada bidang Harris ditumbuk dan ditolak
kuat. Tubuh Harris yang kaku membuatkan pelukan terlerai dan dia berjaya
meloloskan diri.
“Cukuplah sekali awak pijak maruah saya, Harris. Cukuplah awak
hina saya selama ini. Jangan layan saya seperti barang. Hati dan tubuh saya
bukan punching bag. Hanya
berguna saat awak perlukan untuk lepaskan geram dan nafsu awak. Tapi bila dah
tak diperlukan awak campak ke dalam tong sampah.” Terketar-ketar ‘Aisy
menuturkan kata di dalam tangis. Hatinya cukup tergores dengan layanan Harris.
Benarlah dirinya tidak pernah ada harga di mata lelaki itu. Itulah hakikat
pahit yang terpaksa ditelannya. Kenyataan yang membuatkan hatinya semakin parah
terluka.
“Maa..maafkan abang…”
Harris meraup mukanya kasar. Tuhan, apa yang telah aku lakukan?
Bagaikan baru terjaga dari mimpi, pandangannya jatuh pada susuk tubuh ‘Aisy
yang sedang memeluk lutut di hujung katil. Terenjut-enjut bahu ‘Aisy menahan
tangis. Hiba sekali tangisan itu di pendengarannya.
“Awak adalah lelaki yang hanya tahu bercakap tentang hak seorang
suami. Tapi bagaimana dengan hak saya? Hak seorang isteri yang teraniaya? Hak
seorang isteri yang tak pernah selayaknya dihargai di mata seorang suami?”
Hambur ‘Aisy penuh sebak. Air matanya makin laju turun membasahi pipi.
“Sayang, maafkan abang. Please
stop crying.”
Harris menghampiri ‘Aisy dan melutut seperti seorang pesalah di
sisi katil. Bahu isterinya diusap lembut. Hatinya pedih mendengar tangisan
‘Aisy yang mendayu-dayu.
“Don’t you ever touch me!”
Sentuhan Harris ditepis kasar. Tajam panahan anak mata ‘Aisy
merenung tepat ke arah Harris. Dasar lelaki hipokrit. Cukup bijak bermain
sandiwara untuk meraih simpati. Benarlah telahannya. Perubahan sikap dan pujuk
rayu Harris hanyalah permainan lelaki itu semata-mata untuk memenuhi tuntutan
nafsunya.
“Please, sayang. I am so sorry. I didn’t mean to hurt you. Abang tak sengaja, sayang.” Seribu
penyesalan jelas terpancar di raut wajah Harris. Dia dihimpit rasa bersalah
yang teramat sangat lantaran gagal mengawal keinginan diri.
Air mata semakin laju jatuh membasahi pipi ‘Aisy. Sedu yang
berlagu bagaikan tidak bertepi. Dia tenggelam dalam kekecewaan dan kekesalan
yang sangat dalam. Rasa pedih dan perit silih berganti mengisi ruang hati. Dia
harus segera tamatkan jerat perasaan yang semakin menghiris jiwa.
“Let me go, Harris. Kita
berpisah.” Pinta ‘Aisy dengan suara yang bergetar. Mungkin inilah masa yang
sesuai untuk dia menuntut sebuah penceraian. Tuntutan yang bakal menggoncangkan
tiang Arash. Namun dia terpaksa kerana kesabarannya dirasakan sudah tidak dapat
dibendung oleh perasaan yang berterusan memakan dirinya sendiri. Dia mahu
Harris segera menamatkan permainan yang dimulakan lelaki itu sendiri.
“Berpisah? No
way, sayang!” Tolak Harris
tegas. Permintaan ‘Aisy benar-benar menyentap jantungnya.
“Saya hanya tuntut hak saya yang awak dah janjikan empat
tahun dulu. Saya tak pernah lupa. Sampai sekarang saya masih tunggu surat cerai
daripada awak, Harris.” Talar ‘Aisy nekad menyampaikan keinginan. Tetapi entah
kenapa ada rasa sakit yang bertamu di hati dengan permintaannya sendiri. Kosong
dan sepi.
Harris terkedu dengan perpisahan yang diminta ‘Aisy. Menuntut
sebuah janji yang tanpa sedar pernah dilafazkannya suatu waktu dulu dek rasa
amarah yang tidak terbendung.
“Tidak, sayang. Abang takkan lepaskan sayang. Never!” Harris menekankan
suaranya, menggambarkan ketegasan hatinya. Dia pernah melakukan kesilapan
dengan membuang ‘Aisy dalam hidupnya. Dan dia tidak mahu mengulangi kekhilafan
nya yang dulu.
“Awak dah janji nak ceraikan saya. Buat apa awak simpan perempuan
kotor macam saya ni, Harris?” Desak ‘Aisy memulangkan paku buah keras. Satu
persatu kata penghinaan yang pernah dihamburkan Harris diluahkan. Tidak satu
pun dia lupa. Kekal tersimpan dalam ingatannya sampai bila-bila.
“Sudah! Abang
tak nak bincang lagi pasal ni. Jangan sekali-kali ungkit tentang perpisahan.
Abang tak suka!” Cantas Harris memberikan amaran keras. Kedua-dua rahangnya
diketap kuat.
“Kenapa awak buat saya macam ni, Harris? Kenapa awak tak nak
lepaskan saya? Kenapa awak masih nak simpan perempuan macam saya ni lagi? Tak
puas lagi ke awak nak seksa saya?” ‘Aisy menyoal sinis dalam sendu yang tidak
berpenghujung. Sakit hatinya.
Harris menarik nafasnya dalam. Dia bangkit dari keadaan melutut
dan melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy di atas katil. Tangan ‘Aisy dibawa ke dalam
genggamannya.
“Because I love you so much, sayang. You are everything to me.”
Harris jujur mengakui perasaannya. Rasa indah yang hanya disedarinya setelah
‘Aisy berlalu pergi dari hidupnya.
“Pergi jahanam dengan cinta palsu dan kasih sayang awak yang penuh
pura tu. Hentikan lah sandiwara mengarut awak ini.” Cemuh ‘Aisy kasar lantas
menepis pegangan tangan Harris. Dia tidak akan termakan lagi dengan kata-kata
Harris.
“Demi Allah, sayang. Abang ikhlas dengan perasaan abang. Abang
sungguh cintakan sayang.” Ungkap Harris lirih. Tidak tahu harus bagaimana lagi
untuk meraih kembali kepercayaan isterinya. Setiap kesungguhan kata yang
dilafazkan hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy.
“Cukuplah, Harris. Terimalah hakikat yang kita memang tak ada masa
depan bersama. Berpisah adalah jalan terbaik untuk kita bawa haluan
masing-masing.” Suara ‘Aisy sedikit mengendur. Degil dan nekad biarpun hatinya
sakit dengan kata-katanya sendiri.
Harris mendengus geram. Dia menggelengkan kepalanya menolak
permintaan ‘Aisy. Sesak jiwanya dipalu rasa yang tidak keruan. Tidak akan
sekali-kali dia menunaikan permintaan ‘Aisy.
“Dengar sini, sayang. Walau apa pun yang berlaku, hatta dunia ini
kiamat sekalipun, abang tak akan ceraikan sayang!” Suara Harris meninggi. Dia
merenung tajam ke dalam anak mata ‘Aisy. Kedegilan ‘Aisy benar-benar mencabar
kesabarannya.
“Tapi saya tetap akan tuntut cerai daripada awak, Harris. Kita ada
mahkamah. Biar mahkamah yang menentukan pengadilannya!” Tingkah ‘Aisy dengan
berani. Langsung tidak mempedulikan pandangan cerlung suaminya.
Kata-kata itu semakin menyemarakkan api kemarahan Harris. Berombak
dadanya menahan rasa geram. Kedua-dua tangannya dikepal kuat sehingga bergetar.
Jangan berani cabar kesabarannya.
“Don’t you dare, ‘Aisy!” Gumam Harris memberikan amaran.
Tanpa sedar tangan kasarnya mencengkam kuat bahu ‘Aisy. Memaknakan keengganan
hatinya. Tidak! Dia tidak akan benarkan semua itu berlaku.
‘Aisy membalas renungan Harris. Wajah merah lelaki itu ditatap
dengan penuh berani. Namun, kekuatan tangan Harris yang mencengkam bahunya
membuatkan dia tidak mampu menahan sakit.
“Lepaskan saya, Harris!” ‘Aisy mengetap bibir. Dia menepis tangan
Harris.
“No!” Tolak Harris semakin gagal mengawal rasa marah.
Cengkaman tangannya semakin dikuatkan.
“Harris, lepaskan saya. Saakkitt…” ‘Aisy masih berusaha menepis
kedua-dua belah tangan Harris yang melekat kemas di bahunya namun kudratnya terlalu
nipis untuk melawan tenaga lelaki itu.
“Harris, lepaskan tangan awak. You
are hurting me!” Tekan ‘Aisy. Nada suaranya naik satu oktaf.
Harris melepaskan pegangan tatkala menyedari ‘Aisy sedang
mengongoi menahan kesakitan. Dia mengundur sedikit menjauhi ‘Aisy lalu
menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Pasti bahu isterinya yang beralas baju
itu berbirat dengan kesan merah.
“Astagfirullah…” Harris menghela nafas panjang sambil
beristighfar. Dia cuba meniupkan ketenangan dalam diri.
“Maafkan abang.” Lontaran suara Harris kembali kendur.
“Sayang boleh minta apa saja daripada abang. Apa saja abang sanggup
tunaikan. Tapi satu yang abang pinta. Tolonglah jangan minta abang lepaskan
sayang.”
Harris melurut rambutnya yang jatuh ke dahi. Memang dia yang
bertanggungjawab dengan setiap penderitaan dan keperitan yang dilalui ‘Aisy.
Untuk itu, dia mahu menebus kekhilafan nya dulu. Tetapi bukan dengan
perpisahan. Bukan dengan memutuskan sebuah ikatan pernikahan yang terlalu suci.
“You have everything, Harris. Wang ringgit, kuasa,
kedudukan, rupa. Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang awak nak daripada saya,
Harris? Saya dah tak ada apa untuk berikan pada awak.” Keluh ‘Aisy semakin
berat.
“Cinta. Abang perlukan cinta sayang. Kekayaan, kuasa semua itu tak
bermakna andai hidup abang ini kosong tanpa sayang. Abang perlukan sayang untuk
menemani hidup abang. Berilah abang peluang kedua. Just once. Abang akan buktikan
kesucian cinta abang terhadap sayang. Abang akan jaga dan lindungi sayang
dengan kasih yang tak berbelah bagi.” Rayu Harris bersungguh-sungguh.
Kegelisahan jelas terpeta di wajah Harris. Sungguh dia benar-benar
ingin menakluki kembali hati ‘Aisy. Ingin memiliki kembali kasih sayang dan
meraih cinta isterinya yang pernah disia-siakan.
“Wujud ke perasaan cinta dalam hati lelaki ego seperti awak ni,
Harris?” Cebik ‘Aisy tersenyum mengejek. Separuh hatinya ingin percaya namun
ingatan pada kenangan lalu yang menyakitkan terlalu kuat membuatkan hatinya
kembali membeku.
“Empat tahun cukup mengajar abang tentang erti cinta. Membuatkan
abang sedar betapa sakitnya menanggung rindu. Betapa sengsara hati ini apabila
abang hanya mampu melihat dari jauh isteri yang abang cintai. Abang nak tebus
balik semua yang kita pernah hilang, sayang. Maafkan abang atas segala dosa
abang pada sayang.” Ungkap Harris sayu. Demi Tuhan tidak tergambar penderitaan
yang terpaksa dilaluinya. Saban waktu dia menanggung rasa kesal di atas
perbuatannya yang lalu.
“Tak semudah itu saya dapat lupakan apa yang dah berlaku, Harris.
Pintu hati saya dah tertutup buat awak. Saya mohon pada awak. Tolong lepaskan
saya. Saya dah tak sanggup nak jadi isteri yang berdosa kerana saya tahu saya
tak mungkin kembali dalam hidup awak.”
Mata ‘Aisy kembali berkaca. Nusyuzkah dia jika dia memilih untuk
meninggalkan suami yang telah banyak melukakan hatinya? Nusyuz kah dia jika dia
ingin lari dari beban derita yang sarat ditanggung hatinya?
Harris menggelengkan kepalanya laju.
“Kita bina hidup baru, sayang. Abang sedar, dulu abang tak pernah
layan sayang dengan baik. Banyak peluang yang abang persiakan kerana keegoan
dan kebodohan abang sendiri. Tapi abang mohon, untuk kali ini. Berilah peluang
pada abang untuk menjadi seorang suami yang terbaik. Seorang suami yang akan
meminjamkan senyum ketika sayang bersedih, yang akan memujuk apabila sayang
merajuk, yang akan berkongsi rasa bahagia apabila sayang gembira. Abang nak
hidup bahagia dengan sayang.” Kedua-dua belah tangan ‘Aisy digapai dan
digenggam erat.
“Bahagia saya bukan dengan awak, Harris. Cukuplah sekali hati saya
awak sakiti. Apa yang berlaku dah cukup untuk saya nilai harga cinta awak.”
Ditambak tembok kebenciannya setinggi mungkin. Diyakinkan hatinya
yang pujuk rayu Harris hanya penuh dengan kepura-puraan. Janji manis lelaki itu
hanya dusta semata. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu muslihat Harris.
“Demi Allah, I
love you so much, sayang. I really do!” Luah Harris buat kali kedua
bersungguh-sungguh mempertahankan isi hatinya. Dia menggoncang lembut bahu
‘Aisy.
“Cinta? Cinta awak hanya untuk dapatkan tubuh saya ini kan? Kasih
awak hanya untuk menyakiti hati saya kan? Kalau awak jujur dan ikhlas dengan
perasaan awak, tadi tu apa?”
‘Aisy menepis kasar tangan Harris yang mendarat di bahunya. Sebak
rasa hati mengenangkan perlakuan Harris yang hilang kawalan diri sebentar tadi.
Sesak nafasnya menahan tangis yang kembali melebat.
“I know I lose control, but…”
Harris kematian kata. Dalam diam dia memarahi diri sendiri dengan
tindakan buru-burunya. Kerinduan dan rasa kasih yang tidak tertahan terhadap
‘Aisy membuatkan dia hilang pertimbangan. Dan kini dia terpaksa membayar di
atas keterlanjurannya tadi.
“Sebenarnya awak tak pernah menyayangi saya, Harris. Awak cuma
mahukan tubuh saya kan? Saya benci awak, Haris. Saya benci!” Herdik ‘Aisy.
Berombak dadanya menahan rasa marah dan kecewa. Jauh di dasar hati, ada
kepedihan yang terselit. Mampukah hatinya membenci Harris seperti apa yang
telah ditasdikkan oleh lidahnya sendiri?
“Begitu sekali sayang menilai cinta abang. Kasih abang pada sayang
tak serendah itu, sayang. Cinta abang pada sayang bukan untuk diperdagangkan.
Ikatan pernikahan kita terlalu suci, sayang. Abang benar-benar sayangkan rumah
tangga kita. Walaupun seribu kali sayang ungkapkan kata benci, abang tak akan
mengalah mengejar cinta sayang. I
really mean it, sayang.” Bicara Harris sayu. Dia menarik nafas dalam
mengumpul kekuatan. Tidak sekali-kali dia akan mengaku kalah biarpun
berkali-kali hatinya tergores dengan penolakan ‘Aisy.
“Look into my eyes, sayang. Tolong lihat dan
nilai dengan pintu hati. Mata abang tak mungkin dapat menipu. Abang
sungguh-sungguh cintakan sayang. Cinta, kasih dan sayang abang hanyalah milik
Rahadatul ‘Aisy Hilmi, satu-satunya isteri abang dunia dan akhirat.” Sambung
Harris meluahkan rasa, mengharapkan kata-katanya mampu menautkan kembali
simpulan kasih yang telah lama terlerai.
‘Aisy terkedu. Bebola matanya menari-nari di atas wajah Harris.
Mencari kebohongan yang sedang disembunyikan Harris di sebalik kata-kata yang
diungkapkannya. Tetapi kenapa dia hanya nampak sinar kejujuran di situ?
Arghh..lelaki ini memang bijak bersandiwara. Akalnya yakin Harris hanya
bersandiwara, tapi kata hati berbisik sebaliknya. Tiba-tiba kepalanya berdenyut
hebat. Dia keliru!
“Abang janji, abang takkan sentuh ‘Aisy selagi ‘Aisy sendiri tak
relakan. Tadi, memang abang tersilap langkah, abang bertindak di luar kawalan. But it won’t happen again, you can
mark my words.” Janji Harris
hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy. Dalam diam dia cuba mencari titik rasional di
sebalik luahan suaminya.
Harris menjarakkan diri ke jendela membawa kekecewaan tatkala
melihat kesepian ‘Aisy. Fikirannya tenggelam dalam remang-remang senja.
Kesuraman malam yang mula membiaskan diri bagaikan sedang menggambarkan gelodak
perasaannya yang kelam.
Harris melepaskan keluhan berat. Entah kenapa dia mula merasakan
kesukaran untuk mendapatkan kembali kepercayaan ‘Aisy. Hatinya semakin dipagut
bimbang mengenangkan penerimaan ‘Aisy. Sering kali wajah itu mempamerkan riak
penuh curiga tatkala lafaz maaf meniti di bibirnya.
Ternyata ‘Aisy yang pernah dikenalinya empat tahun yang lalu telah
banyak berubah. ‘Aisy yang ada di hadapannya kini penuh dengan kedinginan.
Sarat dengan api dendam yang bersarang dalam jiwa. Dan Harris tahu tindakannya
yang terlalu menurut kehendak hati sebentar tadi membuatkan ‘Aisy semakin
jauh daripadanya. Semakin membunuh peluangnya.
Azan Maghrib yang dilaungkan bilal dari surau Ibn Haytham
mencantas lamunan Harris. Dia meraup rambutnya dan beristighfar perlahan. Jauh
benar dia melayan fikiran membiarkan keadaan menjadi sunyi sepi. Esak tangis
‘Aisy juga sudah tidak kedengaran lagi.
Senyuman terukir di pinggir bibir Harris sebaik terpandangkan
‘Aisy yang tertidur kepenatan dalam keadaan merekot. Hilang seketika ketegangan
yang melanda di jiwa saat melihatkan wajah polos itu. Tidurnya begitu lena,
mungkin kesan gangguan ritma harian atau jet
lag akibat pertukaran zon
waktu.
Harris menghampiri wajah polos itu. Perlahan-lahan dia mengangkat
tubuh ‘Aisy dan membetulkan pembaringan isterinya agar lebih selesa. Dengan
berhati-hati dia memanjat katil dan turut berbaring di sisi ‘Aisy, bimbang jika
pergerakannya akan mengganggu lena ‘Aisy.
Peluang itu diambil Harris untuk merenung wajah ‘Aisy tanpa jemu.
Anak-anak rambut ‘Aisy yang menutupi mata di selak. Jelas kelihatan sisa air
mata yang berkumpul di tubir mata yang sedang terpejam rapat. Kasih sayangnya
pada wanita itu semakin menebal. Tidak pernah berkurang. Dahi ‘Aisy dikucup
dengan penuh rasa cinta. Maafkan abang, sayang. Rintih Harris di dalam hati.
Setelah beberapa minit berteleku di sisi ‘Aisy, Harris bangun
mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri untuk menunaikan kewajipan kepada
Yang Maha Esa. Nyenyak sekali tidur ‘Aisy menjadikannya serba salah untuk
mengejutkan lena isterinya. Dia berkira-kira untuk mengejutkan ‘Aisy usai dia
menunaikan solat nanti. Lagipun dia tidak perlu bimbang andai ‘Aisy terlepas
waktu Maghrib kerana seorang musafir diberikan kelebihan untuk menjamakkan
solat Maghrib dan Isyak di dalam waktu Isyak.
ada sedikit kekeliruan... bukankah Aisy dah sampai ke rumahnya sendiri,,, secara hukumnya kelonggaran jamak dan qasar terluput dengan sendirinya... tlg cari pencerahan ye RI? maaf kalau sy tersilap...
ReplyDeleteThanks for ur concern. I've double checked. Heheeh..dasar jamak ni berdasarkan mukim di mana tempat kita bermastautin. Dlm TC ni tempat bermastautin aisy adalah di bangi sbb dia kerja di ukm. Dia pulang ke ktrg sbb disitu adalah kampung halaman dia. Kg halaman bukan tempat tinggal atau tempat di mana dia bermastautin. Walaupun aisy transit di klia dr uk utk ke ktrg tp dia masih lagi seorg musafir (klia sepang mukim lain dr bangi). Dan aisy blk ke kg xlweih dr 3 hari atas dasar menjenguk parents dia n bkn dgn niat nk bermastautin di situ. Jd dia masih boleh jamak solatnya...
DeleteBetul..setujy
Deletethnks sebab response.. coz pernah perang dingin dgn encik asben sbb dia tak bagi sy jamak ketika balik rumah mak di kampung... huhuhu
ReplyDeleteSaya sama berpendapat dgn hijab kalbu..kerana perjalanannya jauh dr perantauan dan telah selamat sampai di kampung..bangi belum diduduki.
ReplyDelete