Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 30 EV

“Awak tinggal di sini?” Soal Rayyan sebaik keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah agam tiga tingkat. Riak wajah itu seakan terkejut dan tidak percaya.
“Tak. Ini rumah keluarga tunang Sofia. Kebetulan malam ini Sofia bermalam di sini.” Sangkal ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Rayyan terdiam mendengar penjelasannya. Hanya sorotan mata lelaki itu merenung rumah bergaya Inggeris itu.
Rasanya sudah tiba masa untuk ‘Aisy menghulurkan salam perpisahan buat Rayyan. Sudah beberapa jam dia terpaksa mengambil masa lelaki itu.
“Err..terima kasih kerana awak selamatkan saya tadi. Saya minta maaf terpaksa menyusahkan awak tengah malam buta ini.” Ucap ‘Aisy benar-benar memaknakan sebuah penghargaan buat Rayyan. Namun, kata-katanya itu tidak mendapat sebarang tindak balas daripada Rayyan. Sebaliknya, lelaki itu seakan tenggelam dalam dunianya sendiri. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Dia pelik dengan perubahan tiba-tiba Rayyan.
“Encik Rayyan?” Panggilan ‘Aisy menyedarkan Rayyan. Lelaki itu kemudiannya berpaling ke arahnya sambil menjongketkan kedua-dua belah keningnya.
“Oh, sorry. I was thinking about something else. Saya baru teringat yang saya sepatutnya ada temu janji dengan seseorang malam ini.” Beritahu Rayyan melemparkan sebuah senyuman nipis.
Timbul rasa bersalah dalam diri ‘Aisy. Secara tidak sengaja dia telah mengganggu urusan lelaki itu. Mungkin Rayyan mempunyai temu janji istimewa dengan kekasih hati atau isterinya barangkali? Lelaki setampan ini pasti sudah berpunya.
“Maafkan saya. Saya rasa lebih baik saya masuk ke dalam dulu. Terima kasih atas segala pertolongan encik. Semoga ALLAH membalas segala jasa baik encik dengan seribu kebaikan.” Pamit ‘Aisy dalam nada terharu. Hanya perkataan terima kasih yang mampu diucapkan untuk menunjukkan penghormatannya kepada Rayyan.
“Sama-sama. Saya rasa semua orang akan melakukan perkara yang sama jika mereka berada di tempat saya. Mungkin sudah ditakdirkan saya berada di sana pada masa yang tepat.” Lembut kata-kata yang meniti di bibir Rayyan menyapa pelupuk telinganya. Jauh di sudut hati dia kagum dengan sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“Saya masuk dalam dulu. Terima kasih.” Segaris senyuman dihadiahkan kepada Rayyan. Buat seketika, pandangan matanya beradu dengan anak mata milik Rayyan. Dalam kesamaran cahaya yang dipancarkan lampu jalan, baru kini dia dapat meneliti wajah lelaki itu.
Memiliki tulang pipi yang tinggi, hidung yang mancung terletak, bibir yang kemerah-merahan, sepasang mata berwarna hazel, kening lebat yang hampir bercantum di tengah membuatkan Rayyan kelihatan begitu tampan di matanya. Gabungan yang cukup indah dan sempurna. Dari raut wajah Rayyan yang agak cerah itu jelas menunjukkan lelaki itu berdarah campuran.
“Ehem..” Deheman Rayyan membuatkan ‘Aisy tersentak. Lelaki itu turut berpura-pura membetulkan duduknya yang dirasakan agak canggung.
‘Aisy segera melarikan pandangannya. Wajahnya dirasakan berbahang panas. Macam mana dia boleh terlepas laku sampai begitu sekali? Bukannya dia tidak pernah melihat lelaki tampan sebelum ini.
“Err..saya pergi dulu. Jumpa lagi. Assalamualaikum.” Buat kali ketiga dia mengucapkan kata-kata pamitan. Dalam kalut dia membuka pintu kereta dan menapak keluar. Kakinya melangkah laju ke arah pintu pagar wrought iron yang terukir indah itu. Langsung tidak mengangkat wajahnya untuk memandang Rayyan. Malu kerana terkantoi!
“Tunggu! Saya temankan awak.” Suara Rayyan yang sedikit dikuatkan itu membuatkan langkah ‘Aisy yang tergesa-gesa seakan terpasung. Sekelip mata lelaki itu telah berdiri di sebelahnya.
“Tapi..temu janji encik..” Tingkah ‘Aisy dalam rasa bersalah.
That can be waited. You need me more. Saya kan satu-satunya saksi yang boleh mengesahkan cerita awak.” Ujar Rayyan sambil mengenyitkan matanya. ‘Aisy pura-pura tidak nampak dengan perbuatan lelaki itu. Masih dihambat dengan rasa malu.
“Kalau orang yang menunggu itu adalah kekasih atau isteri awak, saya rasa tak elok awak buat macam itu. Lebih baik awak balik.” Tolak ‘Aisy. Sungguh dia tidak berniat untuk campur tangan dalam urusan peribadi Rayyan tetapi dia tidak mahu menjadi penyebab kepada pergaduhan sepasang kekasih atau mungkin sepasang suami isteri.
“Kekasih? Isteri? Satu pun saya tak ada. Orang yang saya nak jumpa itu pun just one of my colleague. So, you don’t have to worry. Saya temankan awak ke dalam, ya?” Beritahu Rayyan dengan wajah yang tenang.
“Okay.” ‘Aisy mengangkat bahu. Langkah kembali diatur menghampiri pintu pagar. Loceng ditekan sekali. Hatinya dipagut bimbang juga untuk mengganggu ketenteraman penghuni rumah agam itu. Maklumlah waktu sudah menghampiri tengah malam. Mungkin masing-masing sudah berlabuh dibuai mimpi. Namun dia tidak mempunyai pilihan. Dia perlu memastikan keselamatan Sofia. Sahabatnya itu perlu segera diberikan peringatan sebelum Daniel melunaskan dendam nya. Lagipun, setelah apa yang terjadi, dia tidak berani pulang ke rumah sewanya. Takut kelibat Daniel dan dua orang rakan subahat lelaki itu sedang menanti kepulangannya di situ.
Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya pintu pagar automatik itu terbuka. ‘Aisy melangkahkan kakinya menuju ke pintu utama sambil diiringi Rayyan.
Pintu cengal yang dicat putih itu terkuak dari dalam. Terpacul wajah seorang lelaki di muka pintu. ‘Aisy pernah melihat wajah tampan lelaki yang sedang berdiri di depannya itu. Dia pasti lelaki itu adalah Harris walaupun dia hanya melihat lelaki itu di dalam gambar sebelum ini. Pelik, kenapa Harris pula yang membuka pintu? Bukankah rumah ini ramai orang gaji? Sempat hatinya melontarkan persoalan yang tidak berapa penting itu.
“Assalamualaikum” ‘Aisy mengucapkan salam dan dia mendengar Harris menjawab perlahan. 
“Ada hal apa?” Tanya Harris sambil memandang ‘Aisy dan Rayyan silih berganti. Dan pandangannya semakin pelik tatkala melihatkan keadaan ‘Aisy yang agak serabai. Selendang di kepala yang langsung tidak padan dengan baju dan seluar yang dipakai.
“Maaf mengganggu lewat malam begini. Err..sebenarnya saya ‘Aisy, housemate Sofia. Dan ini..err..kawan saya Rayyan.” Beritahu ‘Aisy memperkenalkan.
Rayyan menghulurkan tangannya dan disambut Harris. Kedua-dua orang lelaki itu hanya menganggukkan kepala sedikit tanda hormat. Tiada sapaan mesra yang meniti di kedua-dua bibir mereka. Kemudian, pandangan Harris yang tidak bereaksi itu kembali beralih kepadanya.
“Saya perlu jumpa dengan Sofia. Boleh tolong panggilkan dia tak?” Sambung ‘Aisy menyatakan tujuannya.
“Kenapa?” Sepatah soalan yang keluar dari mulut Harris membuatkan ‘Aisy termangu-mangu. Dia kehilangan kata. Memang benarlah komen Sofia sebelum ini. Harris terlalu dingin dan beku.
‘Aisy menjeling sekilas ke arah Rayyan yang hanya mendiamkan diri di sisinya. Melalui sorotan mata, dia cuba mendapatkan sokongan lelaki itu. Tetapi  Rayyan seakan tidak mengerti dengan isyaratnya. Mata lelaki itu hanya merenung tajam ke arah Harris.
Pandangan Rayyan yang semacam itu membuatkan hatinya mula menebak yang tidak-tidak. Takkan lelaki ini berminat dengan Harris kot? Hishh…‘Aisy, apa yang kau melalut ini. ‘Aisy memarahi dirinya dan dia menepuk kepalanya. Aksinya itu mengundang pandangan pelik Harris. Tidak mahu lelaki itu tersalah anggap, dia mula menyusun kata.
“Err..sebenarnya..”
“Harris? Siapa yang datang tu?” Suara lembut yang menyapa mematikan kata-kata ‘Aisy.
“Kawan serumah Sofia.” Sahut Harris membalas.
“’Aisy ke?” Nada suara Hajah Mariah berubah ceria. Wanita tua itu berjalan menghampiri Harris. Dia membulatkan matanya tatkala melihat batang tubuh ‘Aisy di hadapannya.
“Ya ALLAH, ‘Aisy. Kenapa kusut macam ini? Apa yang dah jadi ni? Mari-mari, masuk dulu.” Suara Hajah Mariah jelas bernada risau. Tangan ‘Aisy dipimpin ke ruang tamu. Harris yang hanya memerhati berundur sedikit ke belakang untuk memberikan laluan.
“Anak ini siapa pula?” Soal Hajah Mariah sebaik menyedari kelibat Rayyan.
“Saya kawan ‘Aisy, nenek. Rayyan.” Jawab Rayyan sopan turut memanggil Hajah Mariah dengan panggilan nenek. Dia melangkah mengekori ‘Aisy dan Hajah Mariah ke ruang tamu.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni, ‘Aisy?” Hajah Mariah terus melemparkan pertanyaan sebaik sahaja mereka melabuhkan duduk di atas sofa. Tangan ‘Aisy digenggam erat. Belas hatinya melihatkan keadaan gadis itu.
“Sofia…Sofia mana nenek?” Soalan wanita tua itu tidak dijawabnya. Sebaliknya dia membalas dengan mengutarakan soalan.
“Sofia ada di bilik tamu tu. Mungkin dah tidur agaknya.” Beritahu Hajah Mariah tenang.
“Err..’Aisy nak jumpa dengan Sofia.” Ujar ‘Aisy cemas. Entah kenapa hatinya tidak akan senang selagi dia sendiri tidak melihat kelibat Sofia.
“Harris, tolong nenek panggilkan Sofia.” Arah Hajah Mariah. Lelaki itu tidak membalas sebaliknya akur mengatur langkah ke bilik tamu yang berada di tingkat atas.
“Tenang, ‘Aisy. Beritahu nenek apa sebenarnya yang dah berlaku.” Pujuk Hajah Mariah lembut. Dia mengelus perlahan jari-jemari ‘Aisy.
“Sebenarnya tadi ‘Aisy hampir kena culik.” Jelas ‘Aisy.
“MASYA-ALLAH.” Hajah Mariah beristighfar panjang. Dia benar-benar terpana dengan berita yang disampaikan itu.
“Tapi, alhamdulillah ‘Aisy berjaya melepaskan diri dan encik Rayyan inilah yang telah menyelamatkan ‘Aisy.” Sambung ‘Aisy membuatkan Hajah Mariah melurut dada kelegaan.
“Syukurlah ‘Aisy tak diapa-apakan. Rayyan, terima kasih kerana selamatkan ‘Aisy.” Ucap Hajah Mariah sambil matanya memandang ke arah Rayyan.
“Sama-sama. Secara kebetulan kami terserempak dan dia memerlukan pertolongan saya. Menolongnya dah menjadi tanggungjawab saya sebagai manusia.” Ujar Rayyan sambil mengukirkan senyuman manis.
“’Aisy kenal tak siapa yang culik ‘Aisy?” Pertanyaan Hajah Mariah itu membuatkan ‘Aisy terkedu. Dia menelan liurnya pahit. Tidak tahu bagaimana jawapan yang harus diberikan. Yang pasti dia tidak boleh menyebut nama Daniel. Dia perlu menyembunyikan hubungan silam yang pernah terjalin di antara Sofia dan Daniel terutamanya daripada pengetahuan bakal keluarga mertua sahabatnya itu.
“Err..tt..tak..tak kenal.” Balas ‘Aisy tergagap-gagap. Sengaja dia melarikan anak matanya daripada bertembung dengan pandangan mata helang Rayyan yang sedang merenungnya. Jelas wajah itu agak terkejut dengan pembohongannya.
“Culik? Kau kena culik, ‘Aisy?” Sofia segera menerpa ke arah ‘Aisy. Sebaik kakinya menjejak anak tangga paling bawah, telinganya sempat menangkap pertanyaan yang diutarakan Hajah Mariah. Wajah sahabatnya yang agak berserabut itu dipandang dengan penuh tanda tanya.
‘Aisy mengangguk lemah. Melalui ekor matanya, dia melirik pandang ke arah Sofia ingin menzahirkan sesuatu. Mengharapkan dia dapat menyampaikan apa yang telah terjadi melalui isyarat matanya.
“Macam mana boleh kena culik? Kau okay tak ini? Dia orang apa-apakan kau ke?” Sofia mendakap tubuh ‘Aisy erat.
‘Aisy ingin menggunakan kesempatan itu untuk membisikkan tentang Daniel di telinga Sofia. Namun, tidak semena-mena pandangannya berlaga dengan anak mata Harris yang sedang tunak merenungnya. Lelaki itu sedang berdiri dalam jarak dua meter sambil berpeluk tubuh. Entah kenapa renungan itu membuatkan dirinya merasa tidak selesa.
“Aku tak apa-apa.” Hanya itu yang terkeluar di bibir ‘Aisy. Mata Harris yang seakan ketat mengawasinya membuatkan ‘Aisy membatalkan niatnya.
“Mujurlah kau tak apa-apa. Aisy, aku minta maaf. Aku tertidur awal tadi. Aku tak sedar mesej kau. Buat kau lama tertunggu di luar.” Ujar Sofia serba salah.
“Mesej?” Soal ‘Aisy tidak mengerti. Bila masa dia menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Sofia?
“Ha’ah. Dalam pukul 11 tadi aku terima mesej kau. Kau cakap kau dah ada dekat luar rumah. Kau suruh aku buka pintu. Tapi waktu tu aku betul-betul tak larat nak buka mata. Lama ke kau tunggu aku dekat luar?” Penerangan Sofia membuatkan ‘Aisy semakin keliru.
Pukul 11 malam bermakna sejam yang lalu. Waktu itu dia masih berada di dalam kereta yang sedang dipandu Rayyan. Macam mana dia boleh menghantar mesej pada Sofia sedangkan telefon bimbitnya tidak ada bersama dengannya tika itu? Otaknya ligat mencernakan teka-teki yang bermain di fikiran. Akhirnya, dia dapat memahami apa yang sedang berlaku. Dia pasti ini semua perangkap yang dipasang Daniel. Ternyata keresahan di hatinya bersebab. Rupanya memang benar lelaki itu lebih pantas bertindak. Namun, mujurlah nasib masih tidak menyebelahi Daniel.
“Bu…err..oh, aku lupa. Aku memang ada mesej kau tadi. Hampir setengah jam aku dan encik Rayyan tunggu kau buka pintu, tapi kau tak muncul. Jadi, aku terpaksa tekan loceng. Maaf terpaksa mengejutkan dan menyusahkan semua orang.” Tingkah ‘Aisy menyusun ayat-ayat pembohongan. Dia melirik ke arah Rayyan takut-takut. Bimbang juga hatinya andai lelaki itu membuka cerita yang sebenar. Namun, Rayyan cuma berlagak tenang.
“Menyusahkan apanya, ‘Aisy? Perkara culik ini bukan boleh dibuat main. ‘Aisy dah buat police report?” Pertanyaan Hajah Mariah itu sekali lagi bagaikan menjerut lehernya. Otaknya cuba merangka-rangka alasan yang agak munasabah. Sememangnya dia bukan seorang yang bijak dalam menipu.
“Sebenarnya, saya dah ajak ‘Aisy buat laporan polis tadi tapi dia berkeras hendak ke sini dulu. Mahu jumpa Sofia. Mungkin tadi dia dalam keadaan trauma dan terkejut. Elok juga kalau dia dapat berehat dan tenangkan diri dulu. Insya-Allah, esok saya akan datang untuk bawa ‘Aisy ke balai polis.” Sampuk Rayyan tenang setelah melihat ‘Aisy sedang termangu-mangu mencipta alasan. Dalam hati ‘Aisy mengeluh lega. Mujurlah Rayyan sudi membantunya.
“Yalah, elok juga kalau begitu.” Hajah Mariah menyetujui.
“Kalau macam tu, saya balik dulu. Hari pun dah lewat malam sangat ni.” Ujar Rayyan seraya bingkas bangun dari duduknya.
“Sekarang ini awak dah selamat, ‘Aisy. Berehat dan tenangkan diri. Besok saya datang ambil awak. Kita ke balai sama-sama.” Pesan Rayyan bersahaja.
“Terima kasih di atas pertolongan encik Rayyan.” Tutur ‘Aisy menggariskan senyuman nipis buat Rayyan.
No problem. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Ucap Rayyan senafas. Dia menundukkan kepalanya sedikit pada Hajah Mariah tanda menghormati wanita tua itu. Kemudian, dia menyalami Harris sebelum melangkah keluar. Tidak lama kedengaran deruman enjin kereta Porsche meninggalkan perkarangan kawasan perumahan mewah itu.
“Sofia, bawa ‘Aisy berehat ke dalam bilik.” Arah Hajah Mariah. Sofia akur dan memimpin ‘Aisy naik ke tingkat atas.
“Siapa Rayyan tu? Sejak bila kau kenal dengan dia? Kenapa aku tak pernah nampak dia sebelum ini?” Bertubi-tubi soalan yang ditanya Sofia sebaik mereka berdua berada di dalam bilik tamu.
“Dia yang tolong selamatkan aku semasa aku melarikan diri dari penculik.” Jawab ‘Aisy acuh tidak acuh. Bukan perkara tentang Rayyan yang menjadi tumpuan utama sekarang ini.
Handsome gila Aryan tu. Naik kereta Porsche, mesti bukan calang-calang orang dia tu.” Komen Sofia tersungging senyuman gatal di wajahnya.
‘Aisy tidak berminat untuk membalas kata-kata Sofia. Di dalam kepalanya hanya ada satu nama. Sofia perlu diberitahu tentang Daniel.
“Tentang mesej yang kau terima tadi.” Ujar ‘Aisy mengalih topik.
“Mesej? Mesej apa?” Soal Sofia tidak faham.
“Kau kata aku ada hantar mesej dekat kau kan?” Sofia mengangguk mengiakan.
“Memang kau yang hantarkan?” Pertanyaan teman baiknya itu membuatkan ‘Aisy mengeluh berat. Seketika dia terdiam sebelum menyambung kata.
“Sebenarnya bukan aku yang mesej kau. Tapi Daniel!” Beritahu ‘Aisy membuatkan Sofia terkesima. Bulat mata gadis itu memandang ‘Aisy tidak percaya.
“Daniel? Jangan mengarutlah, ‘Aisy. Macam mana dia boleh guna telefon bimbit kau pula?” Soal Sofia tidak berpuas hati.
“Lelaki yang menculik aku tu adalah Daniel.” Terpempan Sofia tatkala mendengar perkhabaran yang disampaikan ‘Aisy. Lancar ‘Aisy menceritakan peristiwa penculikan dirinya. Berubah riak wajah Sofia yang selama ini sering mengambil ringan kesan daripada setiap tindakannya mempermainkan lelaki.
“Kita perlu buat sesuatu, ‘Aisy. Besok aku teman kau ke balai. Biar polis tangkap lelaki tak sedar diri itu. Baru dia tahu langit ni tinggi ke rendah.” Gumam Sofia sebaik ‘Aisy selesai menceritakan segala-galanya.
“Jangan! Kalau boleh aku tak nak perkara ini jadi kes polis.” Bantah ‘Aisy.
“Kau gila? Kau nak biarkan Daniel terlepas bebas? Kalau Daniel itu sanggup bertindak sampai macam ini sekali, maknanya lelaki itu berbahaya. Kau sanggup perkara yang sama berulang lagi? Kau sanggup biarkan aku menjadi mangsa?” Sofia tertahan-tahan mengawal suaranya. Jelas terpancar kemarahan di riak wajahnya. Kata-kata Sofia yang berasas itu membuatkan ‘Aisy terdiam.
“Tapi, Daniel tu kawan sekampung aku. Aku kenal sangat dengan mak ayah dia. Aku tak nak mak ayah dia malu dan kecewa kalau Daniel tertangkap. Masa depan dia akan hancur.” Luah ‘Aisy terhadap kerisauan yang membelenggu benaknya.
“Habis itu kau nak maruah aku jadi taruhan?” Dakwaan yang diajukan Sofia membuatkan ‘Aisy menggelengkan kepalanya cepat-cepat.
“Bukan..aku..aku..” ‘Aisy kehilangan kata. Serba salah!
“Kau sedar tak ‘Aisy. Daniel dah lakukan kesalahan jenayah. Dan orang yang bersalah tetap perlu dihukum. I’m your best friend, ‘Aisy. You should be more concerned about me at the first place.” Sofia merendahkan suaranya separuh memujuk.
“Aku..aku..aku serba salah, Sofia. Aku…aku.. entahlah.” Keluh ‘Aisy berat.
“Dah. Tak perlu kau fikirkan lagi, ‘Aisy. Besok kita ke balai buat laporan polis. Lagipun tadi, Rayyan dah janji nak datang jemput kau ke balai kan. Okay?” Putus Sofia bagi pihak ‘Aisy.
Lambat-lambat akhirnya ‘Aisy mengangguk lemah. Memang dia tidak sanggup memusnahkan harapan kedua-dua ibu bapa Daniel. Tetapi, dia juga tidak sanggup meletakkan keselamatan Sofia dan dirinya sebagai galang gantinya.

Sebuah keluhan meniti di bibir ‘Aisy. Dia menompang dagunya dengan kedua-dua belah tangan. Pandangan matanya dibawa ke luar jendela. Membuang pandang pada dada langit yang kelam tanpa kehadiran kilauan bintang.

2 comments:

  1. Please post bab yang lain, sebab saya tak tahu bagaimana cara mendapatkan setiap movel malaysia yang saya suka 😢

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..