‘Aisy mengacau nasi goreng di dalam kuali sambil berlagu kecil.
Begitu asyik sehingga tidak sedar sepasang mata Harris sedang memerhatikannya.
Aroma nasi goreng kampung yang memenuhi setiap ruang benar-benar membangkitkan
selera. Kecur liurnya menahan lapar. Sejak semalam lagi tekaknya begitu
teringin hendak menjamah nasi goreng kampung. Resipi turun temurun yang
diwarisi daripada arwah neneknya.
Hampir dua minggu dia terpaksa berpantang akibat luka pembedahan
yang dialaminya. Selama itu jugalah, dia terpaksa mengikat perut dengan menu
nasi putih dan sup ikan haruan. Dia terpaksa akur kerana Harris benar-benar
menjaga ketat diet pemakanannya. Tetapi pagi itu dia sudah tidak dapat menahan
dirinya dengan menu yang disediakan Harris.
“Sayang, kenapa masak sarapan ni?” Tegur Harris setelah beberapa
minit berdiri sambil berpeluk tubuh di belakang ‘Aisy.
Suara serak Harris sedikit mengejutkan ‘Aisy. Dijelingnya sekilas
ke arah Harris yang segak berkemeja dan bertali leher. Bersiap sedia untuk ke
pejabat. Daripada raut wajah lelaki itu jelas terpancar riak kurang senang.
“Selamat pagi, abang.” Sapa ‘Aisy. Dimaniskan wajah dengan
senyuman. Sengaja dia tidak mengendahkan pertanyaan Harris. Dia tahu Harris
tidak benarkannya melakukan kerja-kerja rumah termasuklah memasak.
“Sayang mana boleh buat kerja-kerja berat ni. Kan abang dah suruh
sayang berehat je. Tubuh tu mana sihat lagi.” Leter Harris tanpa membalas
sapaan ‘Aisy.
Tajam panahan mata Harris merenung ‘Aisy yang masih tidak lekang
dengan senyuman di bibir. Biarpun dia rasakan senyuman ‘Aisy sedikit luar biasa
manisnya pada pagi itu tetapi dia tahu isterinya sengaja menggunakan senyuman
itu untuk menyejukkan hatinya. Padanlah, usai solat subuh lagi kelibat ‘Aisy
sudah menghilang dari bilik tidur. Rupa-rupanya isterinya sedang berperang di
dapur, menyediakan sarapan.
“’Aisy dah sihatlah, abang. Setakat masak nasi goreng ni tak ada
apalah. Lagipun hari ini last
day ‘Aisy MC. Besok ‘Aisy dah
masuk kerja pun, maknanya ‘Aisy dah okay.” Jawab ‘Aisy dengan suara yang
sedikit manja, ingin mengambil hati Harris. Pada masa yang sama, tangannya
ligat mencedok nasi goreng yang sedang berasap ke dalam mangkuk untuk
dihidangkan.
“Sayang masuk kerja besok. Hari ini sayang masih cuti sakit
lagikan. Orang yang diberi cuti sakit, kenalah berehat. Bukannya sibukkan diri
dengan kerja rumah.” Tegas bicara Harris masih tidak berpuas hati. Namun masih
sempat dia mengambil mangkuk yang berisi nasi goreng di tangan ‘Aisy.
Diletakkan mangkuk itu di atas meja makan.
“Doktor kan suruh ‘Aisy banyak bergerak. Sekurang-kurangnya dengan
memasak ni, bolehlah ‘Aisy aktifkan diri sikit.” Dalih ‘Aisy.
Sepanjang seminggu ‘Aisy bercuti sakit di rumah pelbagai pantang
larang yang telah ditetapkan Harris. Apa yang boleh dimakan, apa yang tidak
boleh dimakan, apa yang boleh dibuat, apa yang tidak boleh dibuat, semuanya
telah disenaraikan Harris dengan rapi. Sangat ketat. Memang dirinya tidak betah
untuk mengikuti segala-galanya, namun apabila mengenangkan kesungguhan Harris
dia tetap sabarkan dirinya untuk menuruti.
“Ada saja yang hendak dijawabnya. Memasak satu hal. Masak nasi
goreng pula tu. Sayang mana boleh makan makanan berminyak ni. Dahlah dalam nasi
ini sayang letak telur. Sayang kan alah pada protein telur. Nanti luka yang
baru hendak baik tu, bernanah pula.” Omel Harris sambil memandang semangkuk
nasi goreng yang sedang berasap.
‘Aisy mengeluh perlahan. Kadang-kadang dia rasakan Harris terlalu
cerewet dalam menjaga kesihatannya. Kebimbangan yang langsung tidak berasas.
Sedangkan sudah hampir dua minggu dia menjalani pembedahan. Luka pembedahan pun
sudah baik sepenuhnya.
“Abang ini risau sangatlah. Luka di perut ‘Aisy ini dah pulih
100%. Kesan parut pun dah tak nampak. Lagipun ‘Aisy bosan hari-hari terpaksa
telan nasi dan sup ikan haruan.” Adu ‘Aisy sambil meletakkan sesenduk nasi
goreng ke dalam pinggan. Sudah tidak sabar mahu menjamah nasi goreng kampung
yang diidam-idamkannya. Menu nasi putih kosong dan sup ikan haruan benar-benar
telah membuatkan dia muak. Bayangkanlah dalam tempoh seminggu, hanya itulah
makanan ruji yang terpaksa dijamahnya. Jika tidak pasti panjang bebelan Harris
yang terpaksa ditadah telinganya.
“Nasi putih dan sup ikan haruan tu kan untuk cepat sembuhkan luka
dalaman sayang. Dah, sayang jangan degil. Abang tak nak tanggung risiko dengan
benarkan sayang makan nasi goreng ni.”
Halang Harris membuatkan suapan ‘Aisy terhenti. Nasi goreng yang
terhidang di dalam pinggan hanya mampu dipandang sepi. Bertambah kelat wajahnya
tatkala melihat Harris yang sedang menjinjing semangkuk sup ikan haruan.
“Ini abang dah masak pagi-pagi tadi sup ikan haruan. Nanti, bila
sayang dah betul-betul sihat barulah makan nasi goreng ni ya.” Pujuk Harris
lembut. Dia meletakkan semangkuk sup di hadapan ‘Aisy. Pinggan nasi goreng di
hadapan ‘Aisy dialihkan ke tengah meja.
Sebelum Subuh lagi Harris telah bangun menyiapkan sup ikan haruan.
Dia terpaksa menyediakan sarapan pagi lebih awal kerana terpaksa bergegas ke
pejabat untuk menghadiri mesyuarat dengan Maju Holdings, pelabur terpenting
syarikatnya. Sebelum ini sudah beberapa kali dia menangguhkan perjumpaan dengan
syarikat itu kerana menjaga ‘Aisy.
Hampir seminggu Harris mengambil cuti. Hatinya tidak betah untuk
meninggalkan isterinya keseorangan di rumah. Kebetulan pula, Mak Timah pembantu
rumah separuh masanya sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak
perempuannya. Jika tidak boleh juga dia harapkan wanita itu untuk menjaga
‘Aisy.
Sejak itu, rutin hariannya berubah 360 darjah. Setiap hari, dia
mengambil tugas menyediakan sarapan. Mujurlah dia masih tidak lupa dengan
kemahiran memasak yang diasahnya sewaktu menuntut di luar negara.
“Tapi tekak ‘Aisy ni dah tak boleh nak jamah sup ikan haruan ni
lagi dah.” Beritahu ‘Aisy dengan muka yang cemberut. Mangkuk sup yang terhidang
di depannya ditolak ke tengah sedikit. Bau sup ikan haruan yang agak hanyir
memualkannya.
Perlakuan ‘Aisy buat Harris berkecil hati. ‘Aisy bagaikan langsung
tidak menghargai penat lelahnya yang telah bersusah payah bangun awal pagi
semata-mata untuk menyediakan sup tersebut. Sudahlah otaknya berserabut dengan
kerenah yang ditimbulkan Maju Holdings yang mengugut untuk membatalkan kontrak
pelaburan mereka. Dia tidak menyangka tindakannya yang banyak kali menangguhkan
perjumpaan dengan wakil Maju Holdings membuatkan syarikat itu beranggapan yang
dia tidak serius dengan kerjasama mereka dalam pelaburan hartanah.
“Sayang ni degil sangat kenapa? Selama ini boleh je sayang telan
sup ini. Kenapa hari ini tiba-tiba keras kepala pula?” Suara Harris sudah
ditinggikan satu oktaf.
‘Aisy menekur wajah. Terasa hati dengan pertanyaan Harris yang
agak kasar.
“Bukan niat ‘Aisy nak berdegil dengan abang. ‘Aisy cuma dah tak
larat nak hirup sup ikan haruan yang hanyir ini. ‘Aisy takut nanti termun..”
“Sekarang sup ini hanyir pula? Ohh, jadi sayang nak cakap yang
sayang geli nak makan sup ini sebab abang cuci ikan tak bersih? Macam tu?”
Potong Harris dengan emosi.
‘Aisy mengangkat wajah. Bulat matanya memandang ke arah Harris.
Sama sekali tidak menyangka begitu tanggapan suaminya terhadap penolakannya.
“Bukan. ‘Aisy tak kata macam tu. Memang selama ini pun bau sup
ikan haruan ini hanyir. Maksud ‘Aisy…”
“Kenapa sayang tak beritahu abang awal-awal yang sayang tak
sanggup nak telan sup yang abang masak ni? Kalau tak, boleh abang minta tolong
dekat nenek saja untuk masakkan. Abang minta maaf, sayang. Abang ingatkan abang
dah cuci ikan tu bersih-bersih.” Ujar Harris dengan suara yang kendur. Sekali
lagi dia memangkas percakapan ‘Aisy.
‘Aisy mendengus geram. Entah kenapa pagi itu Harris begitu mudah
tersalah faham dengan kata-katanya. Ada saja yang tidak kena dengan setiap
butir bicara yang meniti di bibirnya.
“Bukan itu maksud ‘Aisy. Sup ikan haruan ini memang baunya hanyir
tak kiralah siapa pun yang memasaknya. Dah memang begitu baunya. Lagipun, kalau
abang tak cuci bersih dah lama ‘Aisy kena cirit birit.” Terang ‘Aisy dengan
lembut dan teratur. Nada suaranya sengaja diceriakan. Dia mengukirkan sebuah
senyuman manis buat Harris mengharapkan rajuk suaminya akan berpujuk.
“Dahlah, sayang. Kalau sayang jijik sangat nak telan sup tu,
sayang buangkan je ke dalam sink. Abang gerak ke pejabat dulu.” Bentak Harris
benar-benar berjauh hati. Dia mengatur langkah ke ruang tamu.
Dengan tergesa-gesa, ‘Aisy mengekori Harris. Jauh di sudut hati
dia merasa sesal kerana terlalu menurut kehendak tekaknya untuk menikmati nasi
goreng. Jika dia memaksa dirinya menelan sup ikan haruan itu, pasti pagi mereka
akan dilalui dengan ceria dan usik tawa.
“Abang, kalau nak ke pejabat pun makanlah sarapan pagi tu dulu.
‘Aisy masak banyak tu. Tak baik biarkan perut masuk angin.” Pujuk ‘Aisy lembut.
Tangan Harris dicapai dan digenggam namun ditepis. Tindakan Harris membuatkan
wajah ‘Aisy berubah.
“Abang dah lewat ini. Abang kena kejar masa yang dah terbuang
semata-mata kerana melayan kerenah mengada-ngada ‘Aisy tu.” Tolak Harris
dingin. Ayat sindiran yang dituturkan Harris membuatkan ‘Aisy terasa. Namun
ditepis rasa terkilan di hati tatkala mengenangkan perut Harris yang masih
kosong tidak terisi.
“Kalau macam tu, abang tunggu sekejap ‘Aisy bekalkan nasi goreng
tu. Nanti sampai di ofis, abang makanlah.” Beritahu ‘Aisy seraya mengatur
langkah untuk ke ruang dapur.
“Abang cakap tak payah. Abang ada urgent meeting pagi ini. Nanti tak fasal-fasal
disebabkan nasi goreng sayang tu, abang hilang kontrak pula.” Perli Harris
membuatkan langkah ‘Aisy terhenti.
“Kalau macam tu, tak apalah. ‘Aisy minta maaf sebab dah susahkan
abang. Nanti ‘Aisy minum sup tu. Abang bawa kereta hati-hati, ya.” Dicapai
tangan Harris yang sudah berada di anjung pintu lalu dikucupnya dengan penuh
hormat.
Walang hatinya dengan kata-kata pedas yang dihamburkan Harris.
Hanya kerana keengganannya untuk menjamah sup ikan haruan, Harris boleh berubah
laku sebegitu dingin.
“Errr..abang…”
Harris mengetap bibir. Dia kehilangan kata. Entah kenapa pagi itu
dia bagaikan hilang kawalan diri. Sepatutnya dia perlu lebih bijak beriak
berdasarkan akal fikirannya yang waras. Bukan hanya menurut rasa hati dan emosi
marah yang membuak-buak.
“’Aisy masuk dalam dulu.”
Cepat-cepat ‘Aisy menutup pintu utama biarpun Harris masih
tercegat di hadapan pintu. Dia sudah tidak mampu menahan tubir matanya yang
sedang digenangi air jernih. Bimbang jika air mata itu mengalir di depan
Harris.
Tidak lama selepas itu, dia mendengar ngauman enjin kereta Harris
keluar dari perkarangan rumah. Langkahnya diatur lemah ke ruang dapur. Nasi
goreng di dalam pinggan yang masih belum terusik kembali diletakkan ke dalam
mangkuk. Seleranya yang benar-benar membuak tadi kini terpadam. Nampaknya nasi
goreng itu bakal menjadi hidangan tong sampah.
Dia duduk di atas kerusi makan. Perlahan-lahan sup ikan haruan
dicapai. Lama dia memandang sup itu menahan rasa mual. Dia bukannya sengaja
mereka alasan. Jauh sekali hendak mengada-ngada dengan Harris. Memang betul
tekaknya sudah tidak mampu menelan.
Dengan kesan air mata yang masih bersisa, dia menghirup sup itu.
Sedaya upaya dia memaksa dirinya menelan sup biarpun dirasakan tekaknya
menolak. Setelah beberapa suap, dia tergesa-gesa menuju ke sink. Segala isi
perut dimuntahkan. Sudahnya sup itu tidak mampu dihabiskan.
Tubuh yang lesu dibawa berehat ke meja makan. Sebu perutnya akibat
memuntahkan segala yang dimakan. Terngiang-ngiang sindiran tajam yang
dituturkan Harris sebentar tadi. Entah kenapa sekelip mata layanan Harris
berubah. Sedangkan beberapa hari yang lalu Harris melayannya dengan cukup
romantik. Hubungan mereka cukup indah disulami dengan gelak tawa dan usik
mengusik bahagia.
‘Aisy menghela nafas. Mungkin Harris tertekan dengan urusan
kerjanya. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan oleh suaminya itu.
Adatlah dalam rumah tangga ada pasang surutnya. Dia cuba menyedapkan hati.
Dalam keasyikannya melayan fikiran, tiba-tiba dia dikejutkan
dengan bunyi loceng yang bertalu-talu. Pagi-pagi begini siapa pula yang datang
bertandang. Apatah lagi ketika Harris tiada di rumah. Sepanjang dia pindah
tinggal bersama Harris, belum pernah lagi dia menerima sebarang kunjungan
daripada sanak saudara mahupun kenalannya. Lagipun, tiada kenalannya yang tahu
di mana tempat tinggalnya melainkan Hafeeza dan Sakeena.
Dalam kehairanan ‘Aisy menjengah ke luar jendela. Dia tergamam
sebaik melihat kelibat seorang perempuan cantik yang sedang berdiri di luar
pagar rumah. Dia cukup kenal dengan susuk tinggi lampai itu. Musibah apakah
yang dibawa oleh perempuan itu kali ini. Debaran di dadanya kian berkocak.
Sharifah Sofia Dato’ Syed Jamal, bekas tunang Harris! Calon
menantu yang menjadi pilihan mertuanya. Pertama kali mengenali Sofia, dia
pernah menyimpan rasa kagum terhadap gadis bertudung litup itu. Sofia bukan
sahaja cantik malah kesudian Sofia bersahabat dengannya tanpa memandang pangkat
dan harta membuatkan dia merasa bangga memiliki kawan sebaik itu.
Namun, rasa kagumnya semakin lama bertukar menjadi ngeri. Di
sebalik wajah lembut itu, Sofia bijak memanipulasikan keadaan. Licik mengambil
kesempatan dalam kesempitan orang lain. Sofia mampu melakukan apa sahaja
asalkan hasrat dan impiannya terlaksana.
“Assalamualaikum. Anybody home?” Berkali-kali salam yang dihulurkan
suara lembut itu.
‘Aisy menelan liur perit. Di dalam hatinya berkira-kira hendak
membiarkan sahaja keadaan itu sehingga gadis itu berlalu pergi. Sangkanya
berapa lama sangatlah Sofia mampu bertahan di bawah terik cahaya matahari yang
mula memancarkan bahang.
Namun dalam ‘Aisy sedang berkira-kira untuk tidak menghiraukan
kedatangan Sofia, dia sekali lagi tergamam. Kemunculan seorang wanita elegan di
sisi Sofia mengundang degupan yang semakin kuat di dada.
“I know you are
in the house, ‘Aisy. Let us in!” Wanita
itu pula menjerit, membuatkan ‘Aisy semakin tidak keruan. Adakah wajar dia
menghindari kehadiran kedua-dua orang perempuan itu? Adakah wajar dia berbuat
demikian sedangkan salah seorang perempuan itu adalah ibu mertuanya sendiri!
harris ni..tak menyabar tul la..
ReplyDeleteDalam novel tak de bab ni kaan?
ReplyDeletemmg tk serik2 lg la si harris ni...
ReplyDeletemmg tk serik2 lg la si harris ni...
ReplyDeletekenapa dlm novel lain????
ReplyDeleteOmg
ReplyDeleteBanyak yg tak sama scene dalam drama dengan novel 😅
ReplyDelete