Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 2 April 2013

Titian Cinta 2 EV

Apa yang dibimbangkan akhirnya terjadi. Belum pun sampai beberapa jam’Aisy menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, pandangan matanya disajikan dengan seraut wajah yang paling ingin dihindarinya. Retina matanya masih belum buta dan otaknya masih cekap memproses isyarat yang dihantar oleh mata.
Umayr Harris! Nama itu kembali bergema. Empat tahun dia mengumpul kekuatan untuk melenyapkan nama itu, namun kini dia tewas lagi.
“Harris…” Tanpa sedar bibir ‘Aisy menyebut nama itu. Mujurlah panggilan itu cukup perlahan untuk didengari lelaki itu.
Sebaik ‘Aisy melangkah keluar dari rest room, pandangannya terpaku pada susuk tubuh tegap milik Harris. Dia tergamam seketika. Bebola matanya menari-nari menyaksikan lelaki yang sedang leka berbual dengan seorang wanita cantik di sisinya.
‘Aisy segera berpaling membelakangkan tubuhnya tatkala dirasakan Harris mula mengangkat wajah dan mengalihkan pandangan ke arahnya. Pantas cermin mata hitam dicapai dan disangkutkan di celah telinga sebagai perisai untuk menyembunyikan wajah. Dia membetulkan langkah mengayun laju menuju ke satu arah yang dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu dia perlu melarikan diri. Harris tidak boleh tahu kepulangannya ke sini. Sekurang-kurangnya tidak buat masa ini kerana dia masih belum bersedia untuk bertemu empat mata dengan lelaki itu.
‘Aisy menghelakan nafas lega sebaik terpandangkan kelibat Sakeena yang sedang menunggunya di meja makan. Bayangan Harris hilang entah ke mana. Dia yakin Harris tidak menyedari kehadirannya. Mujur dia cepat bertindak tadi. Tidak pasti bagaimana harus dihadapinya andai Harris perasan dengan kehadirannya tadi. Melihat susuk tubuh lelaki itu dalam jarak sejauh lima meter pun sudah cukup mengundang rasa gentar di jiwa.
Dengan perasaan gugup yang masih tebal bersarang, ‘Aisy menarik kerusi dan duduk di hadapan Sakeena yang sedang menikmati nasi goreng.
“Kau ni kenapa, ‘Aisy? Macam terserempak hantu je.” Kedua-dua belah kening Sakeena hampir bertaut saat terpandangkan wajah pucat ‘Aisy.
‘Aisy hanya menyepikan diri, langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap soalannya.
“Hei, kau ini kenapa?” Sakeena meninggikan sedikit suaranya sambil menggoncang lembut tangan ‘Aisy yang sedang tertunduk kaku.
‘Aisy mengangkat kepalanya sedikit. Dua ulas bibirnya menahan ketar untuk memulakan bicara.
“Err.. Umayr Harris.. aku.. aku nampak dia.” Buat kali kedua nama itu meniti di bibirnya.
Sakeena terpempan. “Harris? Macam mana dia boleh ada kat sini?” Soal Sakeena separuh percaya.
‘Aisy menggelengkan kepala. Dia tiada jawapan untuk persoalan sama yang  turut berlegar di benak fikirannya. Mustahil Harris datang untuk menyambut kepulangannya. Lelaki itu cukup hebat membenci dirinya. Dan dia sendiri tidak mengharapkan kehadiran Harris.
“Dia..dia tahu ke flight aku hari ini?”
‘Aisy memandang Sakeena dengan riak wajah yang keliru. Tidak mungkin Sakeena yang menyampaikan berita kepulangannya kepada Harris. Sakeena sendiri seolah-olah turut melancarkan perang dingin terhadap Harris setelah apa yang dilakukan lelaki itu terhadap dirinya.
Sakeena menjongketkan bahu tanda tidak tahu. “Siapa lagi tahu kau balik ke sini?”
“Tak ada siapa. Cuma kau dan family aku je yang tahu aku pulang ke Malaysia hari ini.” Beritahu ‘Aisy dengan kedua belah keningnya berkerut. Masakan Haji Hilmi atau Hajah Maryam yang memberitahu Harris tentang kepulangannya. Awal-awal lagi dia sudah menitipkan pesanan untuk merahsiakan kepulangannya terutama daripada pengetahuan Harris. ‘Aisy melepaskan keluhan yang panjang. Gagal mendapatkan jawapan yang pasti.
“Ini kan tempat awam. Mungkin dia pun baru balik dari mana-mana.” Putus ‘Aisy sendiri membuat kesimpulan. Dia cuba berfikir dengan lebih rasional. Sebagai ahli lembaga pengarah Indah Puncak Corporation, salah sebuah syarikat konglomerat Malaysia yang terbesar, pasti Harris di antara orang yang sentiasa perlu mengembara atas urusan kerja. Lapangan terbang ini sudah diibaratkan seperti rumah keduanya mungkin.
“Boleh jadi juga.” Sakeena menganggukkan kepala mengiakan.
“Habis tu dia nampak kau tak?” Wajah teman yang sedikit terusik itu dipandang. Kesian ‘Aisy. Pasti wanita ini sedang berperang hebat dengan perasaannya sendiri.
“Aku rasa tak. Lagipun waktu tu dia tengah bercakap dengan seseorang.”
‘Aisy menelan liur pahit. Dia pasti Harris tidak menyedari kehadirannya. Apatah lagi ketika itu Harris sedang asyik memberikan tumpuan terhadap wanita cantik di sisinya. Mungkin teman istimewa lelaki itu. Nampak begitu mesra sekali. Pasangan yang sanat sepadan. Hatinya mengakui.
“Mujurlah. Kau okay tak ni, ‘Aisy?” Diperhatikan wajah ‘Aisy yang seakan hilang dalam dunianya sendiri.
“Aku.. aku okay. Kau jangan risau.” Ujar ‘Aisy tersekat-sekat. Senyuman nipis diukirkan demi untuk meyakinkan Sakeena. Pada masa yang sama dia cuba meyakinkan diri sendiri juga. Aku okay. Mesti okay.. Getus hatinya.
“Betul ni? Are you sure?” Tanya Sakeena berulang kali.
Entah kenapa hati Sakeena berat untuk mempercayai kata-kata ‘Aisy. Biarpun beribu kali bibir ‘Aisy mengungkapkan yang dirinya tidak apa-apa, tetapi ‘Aisy bukanlah seorang pelakon yang hebat dalam menyembunyikan keperitan yang sedang dirasainya. Ternyata tempoh empat tahun masih tidak mampu membuang beban derita yang terpaksa ditanggung selama ini. 
“Betul aku tak apa-apa. Jomlah kita makan. Perut aku dah lapar ni.” Nada suara ‘Aisy berubah ceria. Dia menguntumkan senyuman nipis sebelum mengalihkan pandangan pada makanan yang sedang terhidang di atas meja. Sudu dicapai dan laksa disuap ke dalam mulut. Walaupun seleranya bagaikan mati namun suapan diteruskan jua.
‘Aisy langsung tidak menghiraukan renungan pelik Sakeena. Dia tahu, di depan temannya itu dia tidak mampu untuk berselindung namun dia tidak mahu bayangan Harris terus membelenggu ruang ingatannya.
“Kot iyapun dah lapar benar, tanggalkanlah dulu cermin hitam kau tu. Laksa tu bercahaya sangat ke sampai silau mata kau?”
Sakeena ketawa kecil. Faham dengan kehendak temannya yang enggan memanjangkan perbualan berkaitan Harris. Dia tidak mahu memaksa dan membuatkan ‘Aisy semakin terbeban.
“Nak buat macam mana. Aku kalau nampak laksa Penang ni, memang tak pandang kiri kanan dah.” Balas ‘Aisy sambil turut ketawa kecil menyembunyikan kesilapan diri. Cermin mata hitam yang menutupi anak matanya yang berwarna coklat ditanggalkan dan diletakkan di tepi.
Suasana dibiarkan sepi. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garpu yang berlaga dengan pinggang kaca. Sengaja Sakeena memberikan waktu untuk ‘Aisy menenangkan dirinya.
 ***
 ‘Aisy membalas lambaian Sakeena sebelum melangkah masuk ke balai berlepas. Kakinya bergerak pantas ke kaunter pemeriksaan imigresen. Agak leka berbual dengan Sakeena sehinggakan tidak sedar waktu untuk menaiki pesawat semakin hampir. Mujurlah pengumuman yang berkumandang menyedarkan dirinya daripada terlewat.
Perpisahan selama empat tahun membangkitkan pelbagai cerita dan gossip yang ingin dikongsi. Apatah lagi Sakeena memang seorang penglipur lara yang hebat. Tidak kering gusi dia mendengar bicara sahabatnya itu. Sekurang-kurangnya kehadiran Sakeena menemaninya petang itu berjaya membuang bayangan Harris daripada terus menghantui benaknya.
Langkahnya dibesarkan apabila melihat hampir semua penumpang telah bergerak memasuki perut pesawat.
“Selamat petang, puan.” Ucap pramugara menyambut kedatangannya dengan senyuman manis.
“Selamat petang.” ‘Aisy turut membalas senyuman itu sambil menundukkan kepalanya sedikit.
Setelah selesai urusan pemeriksaan tiket ‘Aisy melangkah ke arah tempat duduknya berpandukan arah yang ditunjukkan pramugara tadi. Dia melepaskan lelah sebaik melabuhkan duduk di kerusi penumpang. Tali pinggang keselamatan dipakai. Perkara pertama yang akan dilakukan setiap kali dia menaiki penerbangan tanpa perlu menunggu arahan daripada atendan penerbangan.
Matanya melilau sekeliling. Masih banyak kerusi yang kosong tidak terisi menandakan tidak ramai penumpang dalam penerbangan petang itu. Begitu juga kerusi di sebelahnya. Sekurang-kurangnya keadaan itu memberikan sedikit kebebasan untuknya bergerak. Maklum sajalah, berapa sangatlah keluasan tempat duduk di kelas ekonomi itu.
‘Aisy menyandarkan badannya mencari keselesaan. Dia menarik nafas dalam. Kedua-dua belah tangan yang sudah dibasahi peluh digenggam erat. Kelopak matanya dipejamkan rapat sambil mulut terkumat-kamit membaca doa menaiki kenderaan. Menghilangkan rasa cuak yang mula bertandang. Rasa fobia yang terpaksa ditempuhinya setiap kali menaiki kapal terbang.
‘Aisy membuka mata apabila menyedari kerusi di sebelahnya telah diduduki penumpang. Sebaik dia menoleh kepalanya ke sebelah kanan, pandangannya sekali lagi disapa wajah Harris. Kenapa wajah putih lelaki itu juga yang menjelma ke mana-mana saja dia pergi?
Pandangannya dikalihkan ke depan. Dia menepuk kedua belah pipinya dengan telapak tangan. Seolah-olah ingin menyedarkan dirinya ke alam nyata. Dan bila dia berpaling ke kanan sekali lagi, bayangan itu tidak juga hilang. Parah!
“Apa khabar, ‘Aisy?” Lelaki itu menyapa tenang. Tidak pula menoleh ke arah ‘Aisy.
Gegendang telinga ‘Aisy jelas menangkap suara garau itu. Tidak berubah langsung. Barulah dia sedar, bukan pandangan matanya yang menipu. Bukan juga fikirannya yang berhalusinasi. Semuanya adalah realiti. Harris benar-benar berada di depannya kini!
“Aa..awak buat apa kat sini?”
Sapaan Harris tidak dijawab sebaliknya dibalas dengan pertanyaan spontan. Matanya memandang Harris tidak berkelip.
Meletus tawa kecil daripada mulut Harris. Wajahnya beriak tenang.
“Abang rasa semua orang dalam flight ni ada sebab yang sama kenapa mereka berada di sini.” Bisik Harris perlahan. Senyuman sinis jelas tersungging di tubir bibirnya seolah-olah memerli ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Dia melarikan pandangannya ke luar jendela pesawat. Pasti lelaki itu sedang mentertawakan kebodohannya. Arghhh…kenapa secepat ini dia harus dipertemukan dengan lelaki ini? Itu pun di dalam pesawat berkelas ekonomi. Bukankah lelaki berpengaruh seperti Harris sepatunya duduk di kelas perniagaan? Jika tadi dia masih berpeluang meloloskan diri daripada Harris tetapi kini mana mungkin dia mampu untuk melarikan diri keluar dari perut pesawat. Apatah lagi kapal terbang sudah mula bergerak perlahan ke landasan pelepasan.
‘Aisy menjeling sekilas ke arah Harris yang sedang memberikan perhatian terhadap pramugari yang sedang tangkas melakukan demonstrasi keselamatan. Dasar lelaki memang pantang jika dihidangkan dengan makhluk Tuhan yang cantik dan seksi di depan mata. Apatah lagi perempuan yang berdahi licin. ‘Aisy menggumam jengkel di dalam hati.
Harris tiba-tiba menoleh ke arahnya. Sepantas itu juga ‘Aisy mengalihkan pandangan ke arah lain.
So, where have you been for the last four years?”
Pertanyaan Harris lama dibiarkan sepi. Langsung dia tidak mengendahkan pandangan Harris yang sedang merenung setiap inci wajahnya dari sisi.
Nowhere…” ‘Aisy menjawab malas seolah-olah ingin menutup pertanyaan lanjut daripada lelaki itu.
“Tak baik seorang isteri menipu suaminya sendiri. Berdosa..”
Bulat mata ‘Aisy memandang Harris. Berdesing telinganya tatkala mendengar perkataan ‘isteri’ yang keluar dari mulut lelaki itu. Begitu mudah melafazkan kata seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka berdua sebelum ini. Semudah itu Harris melupakan apa yang telah terjadi.
“Minta maaf Encik Umayr Harris Tan Sri Hakim. Saya bukan lagi isteri sesiapa.” Sengaja ‘Aisy menekankan perkataan ‘bukan’ walaupun sebenarnya dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya itu. Ego membuatkan dia menuturkan kenyataan yang dia sendiri tidak pasti.
Tetapi bukankah Harris sendiri yang telah membuang jauh dirinya sebagai seorang isteri. Di saat dia sepatutnya dilindungi seorang suami, dirinya dicampak keluar dari mahligai mewah milik lelaki itu. Di kala sepatutnya dia dibelai dengan kasih sayang seorang suami, Harris hanya menghadiahkan tubuhnya dengan sepak terajang dan cacian. Dia bagaikan seorang wanita yang langsung tiada maruah apabila selayaknya dilayan seperti seekor kucing kurap. Mengenangkan itu semua, hatinya pedih dan sakit.
“Dan untuk pengetahuan Puan Rahadatul ‘Aisy Hilmi, talak berada di tangan suami. Seingat akal abang yang masih waras ini, abang tak pernah ceraikan ‘Aisy.” Tegas dan padat bicara Harris. Namun riak wajah itu masih tenang. Bijak mengawal emosinya.
‘Aisy menelan liur pahit. Empat tahun lalu, Harris dengan angkuh telah memintanya untuk menunggu surat cerai melalui peguam yang dilantik Harris. Memang surat yang dimaksudkan tidak pernah sampai ke tangannya. Apatah lagi ketika itu dia terlalu sibuk dengan segala urusan persiapan berkaitan pengajiannya ke luar negara. Langsung dia tidak pernah ambil peduli untuk bertanyakan perihal Harris termasuklah urusan penceraiannya. Pada waktu itu, apa yang ada dalam fikirannya hanyalah dia ingin segera terbang ke bumi England. Ingin ditinggalkan dan dikuburkan segala memori pahit bersama lelaki itu.
 “Apa yang awak mengarut ni?” Soal ‘Aisy sedikit gugup.
Harris hanya ketawa sinis. Dia tahu keyakinan ‘Aisy mula goyah.
“Abang tak mengarut, sayang. ‘Aisy masih isteri abang yang sah. Masih hak abang. Dan abang nak ‘Aisy kembali ke rumah kita. Hidup bersama abang. Cukuplah empat tahun abang izinkan ‘Aisy pergi jauh daripada abang.”
Pujukan Harris seakan-akan menjerut leher ‘Aisy. Permainan apakah yang sedang diatur Harris ini? Masih tidak puas lagikah lelaki ini menyeksanya dulu?
“Awak dah lupa ingatan agaknya.” ‘Aisy menjeling tajam ke arah Harris. Dia menghentikan kata-katanya untuk melihat reaksi Harris. Namun wajah Harris masih kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi, menambahkan rasa sakit di hati.
“Tapi saya takkan lupa apa yang awak dah putuskan empat tahun lepas. Ingatan saya ini masih segar saat awak menghalau saya keluar dari hidup awak. Awak jelik dengan diri saya yang kotor ini. Malah memandang keturunan saya pun awak jijik.” Sambung ‘Aisy menghamburkan satu persatu bicara keramat yang pernah dilafazkan Harris suatu waktu dulu. Kata-kata pedih itu kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya bagaikan pita rakaman. Air mata yang mula bertakung di tubir mata ditahan. Dia tidak boleh menangis!
Riak wajah tenang Harris sedikit berubah. Terkesan juga hatinya dengan bicara yang meniti di bibir ‘Aisy. Sedar dirinya telah banyak melakukan kekhilafan pada ‘Aisy. Khilaf kerana dulu dia tidak pernah menghargai kehadiran ‘Aisy sebagai seorang isteri. Dia menarik nafas panjang sebelum menyusun kata.
“Maafkan abang, sayang. I was wrong about you. Abang tahu abang silap. Tapi berilah abang peluang untuk tebus semua kesalahan abang. Please, come back into my life.
‘Aisy mencebik. Rayuan Harris langsung tidak berbekas di hatinya. Sebaliknya hanya menambahkan rasa bengkak di hati. Apatah lagi dengan ungkapan sayang yang kerap meniti di bibir lelaki itu, membuatkan telinganya seperti bernanah.
“Tak mungkin!” Putus ‘Aisy sambil menggelengkan kepalanya berulang kali. Tidak semudah itu untuk dia memaafkan dan melupakan apa yang telah dilakukan Harris. Lelaki itu telah merampas satu-satunya anugerah terindah yang pernah hadir dalam hidupnya. Tidak cukup dengan itu, dirinya kini hilang kesempurnaan sebagai seorang wanita.
“Saya tak cukup baik nak maafkan awak, Harris. Kembali hidup dengan awak, that the last thing I will do. Takkan jadi kenyataan. Not even in your dream. And don’t you dare to call me sayang!” Suara ‘Aisy sedikit meninggi. Nafasnya turun naik menahan rasa sebal yang terbuku di hati. Puas dia dapat menuturkan kata-kata sinis itu.
Biar Harris sedar yang dia bukan lagi seorang wanita yang lemah. Tidak sekali-kali dia akan menyerah dan tunduk mengalah dengan pujuk rayu lelaki itu. Kembali hidup bersama Harris seolah-olah merelakan dirinya terpenjara di dalam sangkar emas yang berduri. Indah mungkin hanya pada pandangan mata orang luar yang melihat tetapi sengsara dan derita yang ditanggung hanya dia yang merasainya. Cukuplah sekali dia pernah terseksa dan terluka kerana Harris.
Harris terdiam menelan setiap bait bicara yang dilontarkan ‘Aisy. Jelas kelihatan kedua-dua belah rahang lelaki itu bergerak-gerak menahan rasa.  
Well, we will see.” Ringkas tutur Harris seakan memberi amaran. Lelaki itu menghadiahkan senyuman sinis.
‘Aisy mendengus geram. Dia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap pesawat. Tiada guna dia terus membalas kata-kata Harris untuk memanjangkan pertikaman lidah di antara mereka. Yang penting dia perlu bertindak untuk menghentikan permainan Harris. Hanya satu perkataan yang ligat bermain di kotak fikirannya. Penceraian! Ya, dia tidak boleh tunggu lama. Dia akan berjuang untuk mendapatkan haknya. Haknya untuk bebas daripada cengkaman Harris.
Pengumuman kapten juruterbang yang meminta anak pesawat bersiap sedia untuk berlepas bagai menyelamatkan keadaan. Lampu di dalam kapal terbang dipadamkan tanda bersedia untuk melakukan penerbangan.
‘Aisy membetulkan duduknya. Enjin kuat pesawat yang menderum membuatkan jantungnya berdegup pantas. Perbualan tegang dengan Harris sebentar tadi langsung tidak mampu mengatasi rasa fobianya. Aerophobia, perasaan takut ketika menaiki penerbangan. Tiba-tiba dia merasakan tangan sejuknya digenggam kemas.
Let me ease your fear, sayang.” Harris berbisik lembut di telinga ‘Aisy sambil mengemaskan genggaman. Cukup rapat sehingga ‘Aisy dapat merasakan desah nafas lelaki itu.
I don’t need your help.” Gumam ‘Aisy menahan suara.
Tangan Harris yang melingkar kemas di celah jari-jemarinya cuba dilepaskan. Namun usahanya sia-sia. Mana mungkin kudrat wanitanya mampu melawan tenaga seorang lelaki angkuh seperti Harris. Sudahnya dia terpaksa membiarkan tangannya berada dalam genggaman lelaki itu. Beralah tak bermakna kalah.

Dalam diam Harris tersenyum menang. Ibu jarinya mengusap perlahan belakang tangan ‘Aisy. Dia pasti akan dapat menawan kembali hati ‘Aisy. Sekeras mana hati isterinya, pasti akan dilembutkan. Sepetah mana kata yang meniti di bibir comel itu, pasti akan didiamkan. Dia sudah bersedia memulakan misinya. Sudah lama dia menunggu saat ini. Senyumnya semakin lebar tatkala mengingati segala perancangan yang telah disusun rapi. Harris yakin dia akan berjaya dan ‘Aisy tidak akan pergi jauh dari hidupnya lagi!

5 comments:

  1. bagus... so smooth wlupun sedikit clithe.. menarik...

    ReplyDelete
  2. owhh... sy baru je jumpa blog ni dan hasilnya sya mmg tertarik dgn permulaan cerita

    ReplyDelete
  3. best la citer ni.. sy bru tgk drama dia ep. 6...tk sbr nk tgu ep 7..tu trus cr novel dia..bc online.. πŸ˜ŠπŸ‘ŒπŸ‘

    ReplyDelete
  4. best la citer ni.. sy bru tgk drama dia ep. 6...tk sbr nk tgu ep 7..tu trus cr novel dia..bc online.. πŸ˜ŠπŸ‘ŒπŸ‘

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..