Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 2 April 2013

Titian Cinta 18 EV

Usai bersolat Zuhur, air mata ‘Aisy mengalir tidak dapat ditahan-tahan. Terenjat-enjut bahunya menahan tangis dalam tadahan doa, memohon kekuatan dan ketabahan dari yang Esa. Mengharapkan sinar kebahagiaan yang dirasakan semakin suram.
“Abang tak sangka taste sayang berciri antarabangsa juga ya”
Patah-patah perkataan itu kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya. Entah kenapa hatinya cukup terhiris dengan sindiran pedas itu. Peritnya di jiwa apabila diri tidak sudah dicurigai. Baru hatinya ingin membuka ruang mencari bahagia, hatinya kembali terluka. Hukum karma kah ini?
Lama ‘Aisy berteleku di atas tikar sejadah, bermunajat untuk mendapatkan ketenangan dalam mencari arah kehidupannya yang belum pasti. Seteguh mana kesetiaan yang dipertahankan nyata tiada makna jika dikhianati dengan rasa sangsi. Setinggi mana harapan yang disandarkan pada sebuah kebahagian pasti tiada daya untuk digapai seandainya duka dibiarkan terus menemani sepi sekeping hati. Terlalu banyak liku yang perlu ditempuhi dalam perjalanannya mencari titik kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan. Membuatkan kesabarannya semakin terhakis dan perasaannya disapa lelah yang semakin menggunung tinggi. 
“Ya Allah, engkau berikan aku petunjuk-Mu. Seandainya, masih ada sinar kebahagiaan yang tertinggal buat aku dalam bahtera rumahtangga ku ini, Engkau berikanlah aku kekuatan untuk aku terus mempertahankan ikatan suci ini. Namun jika kebahagiaan yang aku harapkan tidak berpihak padaku, aku reda, ya Allah.” Rintih hati ‘Aisy. Sebuah keluhan lemah meniti di bibirnya. Mengeluh bukan kerana menyalahkan takdir, tetapi untuk memujuk hati, agar dapat mengurangkan beban perasaan yang ditanggung. Menghalau jauh derita hati yang selama ini bersarang dalam diri.
Bunyi keriuk pintu yang dibuka dari luar membuatkan ‘Aisy berpaling. Bebola matanya yang memerah bertembung dengan anak mata Harris. Jelas terpancar riak serba salah di wajah lelaki itu.
‘Aisy memalingkan wajahnya jatuh memandang sejadah. Kata-kata pedih yang dilemparkan Harris kembali bergema bagai bisikan halus di telinga. Membuatkan ‘Aisy semakin menjeruk rasa. Ada rasa rajuk di hati. Ada rasa terkilan yang tertinggal. Lalu, air mata yang membasahi pipi sedari tadi diseka. Dia bangun mengemaskan telekung sembahyang dan sejadah. Rasa ngilu di bahagian perut kesan pembedahan membuatkannya tidak betah untuk terus duduk bersimpuh lama.
Suasana sepi dan suram yang menyelubungi membuatkan ‘Aisy berasa kekok untuk terus berada di dalam bilik. Apatah lagi dengan rasa berjauh hati yang masih tebal bersarang di dada.
“Sayang nak ke mana?” Pertanyaan Harris menghentikan pergerakan ‘Aisy yang ingin memulas tombol pintu.
“Saya nak ambil angin di luar. Dalam bilik ini panas!” Sela ‘Aisy kaku. Sakit di hati yang masih tersisa membuatkan lancar bibirnya memuntahkan kata-kata sinis. Walaupun terbit rasa bersalah dengan kekasaran lidahnya namun dikeraskan hati untuk membuang jauh rasa bersalah itu.
“Dah pasang aircond pun masih panas lagi? Nanti abang rendahkan suhu. Sayang tak boleh banyak sangat bergerak. Nanti luka tu lambat sembuh.” Ujar Harris dengan suara yang lembut. Sengaja dia berpura-pura tidak mengerti dengan sindiran ‘Aisy. Dia tahu dia telah tersilap. Terlalu mengikut rasa cemburu sehingga menggoreskan hati dan perasaan isterinya sendiri dengan curiga yang dilemparkan olehnya. Hubungan mereka yang sedia dingin menjadi semakin beku.
“Abang ada benda nak bincang dengan sayang.” Sambung Harris sambil menghampiri ‘Aisy. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan hubungan mereka.
“Nak bincang apa lagi? Kalau setakat nak sakitkan hati saya lebih baik tak payah” Tolak ‘Aisy.
We need to talk, sayang. Tentang hubungan kita ni. Please…” Rayu Harris. Dia mencapai tangan ‘Aisy. Lalu jari-jemari si isteri diusap dengan penuh rasa kasih. Mengharapkan tindakannya itu bisa menyejukkan hati ‘Aisy yang sedang panas.
“It will take us to nowhere, Harris. Kalau awak masih nak teruskan dengan serkap jarang awak pasal saya...” Kata-kata ‘Aisy terhenti apabila pantas jari Harris melekap di bibirnya.
“I know I was wrong. Always wrong about you. Sebab itu abang nak kita berdua duduk berbincang dari hati ke hati. Kita ambil peluang ini untuk kita luahkan segala yang terpendam di hati masing-masing. Kita sama-sama cari penyelesaian untuk setiap masalah kita. Please, sayang.” Potong Harris sambil mengemaskan genggaman tangan kirinya di celah jemari ‘Aisy.
‘Aisy mengeluh lemah. Sentuhan dan bicara lembut Harris berjaya meredakan perasaannya. Hatinya yang rajuk seakan berpujuk.
“Baiklah.” ‘Aisy mengangguk bersetuju.
Harris tersenyum nipis. Berhati-hati dia memimpin ‘Aisy duduk di atas katil. Lama pandangan matanya merenung setiap inci wajah ‘Aisy. Dia berdeham beberapa kali apabila menyedari kegelisahan ‘Aisy menanti buah bicara dari mulutnya.
“Mungkin dah terlalu kerap kata-kata maaf yang telah abang ucapkan pada sayang. Tapi, abang tetap ingin memohon keampunan sayang atas keterlanjuran abang tadi.” Bicara Harris sambil menggenggam erat tangan ‘Aisy.
“Abang sedar selama ini abang bukan suami yang baik. Abang lelaki baran yang selalu kalah dengan rasa curiga. Tapi, abang cuba nak berubah. Walaupun bukan mudah but I’m trying very hard, sayang. Abang terlalu mencintai sayang. Dan kerana rasa cinta inilah kadang-kadang membuatkan abang tersasar dan gagal mengawal rasa cemburu. Maafkan abang ya, sayang.” Sambung Harris. Wajah ‘Aisy yang sedang tunduk membisu dipandang dengan penuh harapan.
 ‘Aisy menarik nafasnya dalam. Perasaannya berbelah bagi. Hatinya sangsi untuk menerima kembali Harris dalam hidupnya. Bimbang jika penyesalan Harris hanya sekadar di bibir. Tidak sanggup membiarkan dirinya dilanda badai kecewa lagi dan lebih menakutkan jika ia berlaku, mungkin saat itu hatinya sudah tidak mampu bertahan lagi. Tapi dia juga tidak mampu menidakkan rasa cinta yang kuat di hatinya.
“Jika maaf yang awak harapkan, awak tak perlu minta dari saya, Harris. Saya dah maafkan awak.” Ujar ‘Aisy perlahan.
Dari dulu dan selamanya hati ini memang tidak akan pernah mampu membenci awak, Harris. Cinta dan rindu saya tetap menjadi milik awak. Biarpun sekuat mana saya cuba menidakkan rasa sayang ini, namun kesudahannya saya tidak mampu. Getusnya di dalam hati, tidak mampu meluahkan kata-kata itu pada Harris.
“Tapi, apa kesudahan hubungan kita ini, Harris? Apa lagi yang tinggal dalam hubungan kita ini jika awak tak pernah percaya dengan kejujuran saya. Dulu, awak pernah buang saya kerana fitnah. Bertahun-tahun saya menjeruk rasa. Bertahun-tahun saya kumpul kekuatan untuk lupakan segala kepedihan. Peritnya hidup apabila dibuang suami sendiri dan satu-satunya tanda cinta kita juga pergi meninggalkan saya. Dan sekarang, awak persoalkan pula persahabatan saya dengan Jason. Kenapa awak tak pernah puas menyakiti hati saya, Harris?” Tingkah ‘Aisy meluahkan segala rasa kecewa yang bersarang di hatinya selama ini. Dia mahu Harris mengerti betapa beratnya beban hati yang terpaksa ditanggung apabila kesetiaan yang dipertahankan dicurigai.
“Maafkan abang, sayang. Abang tak pernah berniat untuk menyakiti hati sayang. Cuma kadang-kadang abang gagal mengawal perasaan abang sendiri. When it comes to you, I always lost my control.” Sesal Harris. Sikap baran merupakan kelemahan utamanya. Dia sering tewas mengawal kemarahannya.
“Bukan kata-kata maaf yang saya harapkan dari awak, Harris. Saya perlukan kepercayaan awak. Apalah erti sebuah perkahwinan yang dibina jika hanya berlandaskan dengan syak wasangka. This marriage is not going to work, Harris..” Tukas ‘Aisy.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Demi ALLAH, abang akan cuba apa saja untuk selamatkan hubungan kita. If you want trust, then I’ll give you trust. I’ll do anything sayang as long as you are here with me by my side. I’ll change for good. Dan apa yang abang perlukan adalah kesabaran sayang.” Pujuk Harris bersungguh-sungguh. Dia benar-benar mahu mempertahankan mahligai yang dibinanya bersama ‘Aisy.
 “Entahlah, Harris. Terlalu banyak perkara yang menyekat hubungan kita. Kepercayaan, kesabaran mungkin sudah tak penting lagi kerana yang paling utama saya pun dah tak mampu memberikan awak zuriat. Mungkin ini semua petanda yang kita berdua tak ada masa depan untuk hidup bersama.” Bicara ‘Aisy dihambat rasa kecewa. Saat itu, segala semangat positif yang dititipkan Sakeena dan Hafeeza hilang entah ke mana. Dia kembali menjadi seorang wanita yang menyerah kalah pada keadaan.
“Zuriat bukan kayu pengukur yang akan menentukan kebahagiaan kita. Dalam perkahwinan ini kita datang berdua, sayang. Dan pengakhirannya kita juga berdua. Anak-anak akan datang dan pergi dalam hidup kita. Mereka membesar dan bakal punya kehidupan sendiri. Tidak selamanya akan bersama kita. Tapi yang kekal di sisi seorang suami adalah isteri. Begitu juga seorang suami akan sentiasa menemani isterinya sehingga ajal memisahkan mereka.” Luah Harris sayu.
“Jika diberi pilihan antara sayang dan anak, abang pilih sayang. Abang bahagia dengan kehadiran sayang dan kita tetap masih mampu hidup bahagia tanpa zuriat. Bohonglah kalau abang cakap abang tak mahukan anak. Tapi abang hanya mahukan anak daripada sayang. Kalau tiada rezeki kita, abang reda sayang.” Tambah Harris meyakinkan ‘Aisy.
‘Aisy terpaku dan rasa syahdu mula menjalar ke dalam hatinya. Bagaikan ada tiupan semangat yang meresap di segenap urat nadinya tatkala mendengarkan kata-kata tulus Harris.
“Pengakuan sayang dah cukup buat abang. Sekurang-kurangnya abang tahu yang abang masih memiliki cinta sayang. Kenapa kita tak pertahankan hubungan kita ini sedangkan kita berdua saling mencintai?” Beritahu Harris membuatkan ‘Aisy tercengang.
“Pengakuan?” Berkerut dahinya memandang Harris memohon penjelasan.
“Ya, sayang. Abang dah dengar semuanya semasa di hospital semalam. Kenapa perlu sembunyikan apa yang sayang rasa terhadap abang?”
Penjelasan Harris membuatkan wajah ‘Aisy berubah merah. Jadi, Harris telah mendengar semua luahan cintanya? Barulah dia faham kenapa tiba-tiba Harris muncul setelah menyepikan diri daripadanya.
“Tapi saya..saya takut saya tak kuat nak hadap semua ini. Saya takut saya akan penat, Harris. Penat mengejar bahagia yang tak pernah menjadi milik saya. Mungkin, saya harus pasrah dengan takdir ini.” Rintih ‘Aisy sebak. Masih gagal sepenuhnya meyakinkan dirinya sendiri.
“Takdir kita untuk bahagia bersama. Derita dan sakit yang kita berdua rasa adalah dugaan, sayang. ALLAH hadirkan ujian kerana Dia tahu kita mampu. Dia ingin lihat setinggi mana keimanan dan kesabaran kita dalam menghadapi setiap dugaan-Nya. Abang pernah baca petikan dalam kitab Imam Ghazali, sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Ungkapan Harris berjaya membuatkan lidah ‘Aisy kelu. Seakan tidak percaya yang kata-kata itu meniti di bibir Harris. Harris memang benar sukar diduga. Seorang lelaki yang suatu ketika dulu menjadikan budaya barat sebagai tunjang hidupnya. Kini melalui tutur bicara Harris, dia yakin pegangan hidup suaminya sudah berubah seratus peratus. Ya, mungkin benar Harris sedang melalui fasa perubahan dalam hidupnya. Berubah menjadi lebih baik.
“Abang percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang cukup manis menanti kita. Yang penting kita berdua harungi nya dengan penuh kesabaran. Abang yakin sayang kuat dan sayang adalah kekuatan abang. We complement each other.” Sambung Harris mengharapkan pengertian daripada ‘Aisy.
Mendengarkan bait-bait ayat positif yang dituturkan Harris membuatkan ‘Aisy menjadi malu. Malu dengan kelemahan dirinya yang mudah melatah dengan setiap dugaan kecil yang menimpanya. Malu kerana mudah menyerah kalah dengan onak dan badai yang melanda hidupnya.
“Masih adakah lagi bahagia buat kita, Harris?” Bisik ‘Aisy perlahan.
“Insya-Allah, kita akan bahagia sayang. Beri peluang kepada diri kita untuk mencari bahagia bersama. Yang penting, never ever give up on ourselves.” Keyakinan Harris benar-benar meruntun jiwa ‘Aisy. Buat sekian kali air mata wanitanya gugur menitis di pipi. Mampu kah dia terus membuka ruang di hati untuk berjuang mempertahankan sebuah ikatan suci yang telah tersimpul antaranya dan Harris.
“Abang janji abang akan cuba menjadi suami yang lebih baik. Tapi abang perlukan sokongan sayang. Just be by my side and I’ll change for better. Bantu abang mengemudi bahtera rumah tangga kita ya, sayang?” Pinta Harris lembut sambil menyeka air mata yang membasahi pipi ‘Aisy.
Permintaan Harris benar-benar mengusik tangkai hatinya. Lambat-lambat dia mengangguk. Saat itu dia tidak mampu menidakkan kemahuan hatinya.
“Terima kasih, sayang” Bergenang kelopak mata Harris saat melihat anggukan ‘Aisy. Pantas tubuh isterinya dibawa ke dalam dakapan. ‘Aisy turut membalas rangkulan Harris. Buat pertama kali setelah sekian lama, hatinya benar-benar lapang menerima sentuhan kasih seorang suami.
“Maafkan saya, Harris. Selama ini saya telah banyak menyakiti hati awak dengan kata-kata dan perbuatan saya.” Pohon ‘Aisy dalam esakannya. Betapa banyak dosanya melakukan kesalahan dalam sedar kepada suaminya sendiri.
“Sayang tak ada dosa dengan abang sebab abang sentiasa ampunkan sayang.” Balas Harris sambil mengucup ubun-ubun ‘Aisy.
Perlakuan Harris benar-benar menyentuh perasaan ‘Aisy sehingga tanpa sedar wanita itu semakin mengeratkan rangkulannya. Gerakan bahasa tubuh isterinya itu membuatkan Harris tersenyum dalam bahagia.

“Alhamdulillah.” Terbit bisikan kalimah kesyukuran di bibirnya.

3 comments:

  1. terfikir plak..jason berminat ngan Islam kan?..hmm kalau dia dgn hafeeza nmpk sepadan plak..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena buat another novel kot pasal Jason..hahahaa..

      Delete
  2. https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/tak-hanya-lucu-6-jenis-anjing-ini.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/adam-fabumi-meninggal-dunia-selebritas.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/badan-membesar-karena-hamil-kylie.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/remaja-15-tahun-melahirkan-di-toilet_23.html

    Tunggu Apa Lagi Guyss..
    Let's Join With Us At Dominovip.com ^^
    Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami :
    - BBM : D8809B07 / 2B8EC0D2
    - Skype : Vip_Domino
    - WHATSAPP : +62813-2938-6562
    - LINE : DOMINO1945.COM
    - No Hp : +855-8173-4523

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..