Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 2 April 2013

Titian Cinta 10 EV

Sebuah keluhan lemah meniti di bibir ‘Aisy. Berada di dalam banglo besar itu cukup membuatnya merasa terasing. Tatarias mewah yang menghiasi segenap ruang langsung tidak berjaya mengundang ketenangan di jiwa. Rasa sebal masih kuat bersarang di hati kerana terpaksa akur dengan desakan Harris. Tekadnya untuk menghindarkan diri daripada Harris ternyata sia-sia. Semakin dia cuba lari, semakin laju lelaki itu mengejarnya.
‘Aisy melilau pandang ke segenap ruang tamu yang berkonsepkan moden kontemporari. Pandangannya kemudian jatuh pada seraut wajah cerah milik Harris yang berada di hadapannya. Lelaki itu sedang tekun mengadap skrin komputer riba. Mungkin sedang menyudahkan kerja pejabatnya kerana sejam tadi dia terdengar Harris menerima panggilan penting daripada kakitangan Indah Puncak. Komitmen tinggi Harris terhadap kerja memang tidak pernah berubah. Disebabkan itulah Indah Puncak semakin maju sejak Harris mengambil alih syarikat tersebut.
Keasyikan Harris memberi peluang kepada ‘Aisy untuk curi-curi merenung suaminya dalam diam. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk menghayati ketampanan wajah Harris. Lelaki itu memang punya karisma yang mampu membuatkan ramai gadis terpikat padanya. Ketampanannya dan kredibilitinya dalam dunia perniagaan membuatkan ramai orang mengaguminya. Kisah kejayaannya yang sering terpampang di dada majalah membuatkan namanya meniti di bibir ramai.
‘Aisy turut mengagumi Harris kerana usaha gigihnya dalam dunia perniagaan. Kekayaan yang dimiliki keluarganya bukan penghalang untuk Harris memajukan diri atas usahanya sendiri. Dia cukup menghormati pendirian lelaki itu. Malah sikap hormat Harris terhadap orang tua menempatkan Harris di suatu sudut yang cukup istimewa di hatinya. Sering kali dia menyaksikan layanan mesra Harris terhadap nenek kesayangan Harris, Hajah Mariah. Hatinya percaya Harris juga lelaki yang kaya dengan kasih sayang yang tulus.
Disebabkan itu tiada langsung rasa ragu tatkala dia menerima lamaran Hajah Mariah menyuntingnya sebagai isteri Harris. Kekecewaan yang pernah dirasainya menyebabkan dia memilih untuk mengharungi hidup bersama Harris. Biarpun dia tidak pernah mengimpikan lelaki itu sebagai suaminya. Malah dia juga tidak pernah menjadi pilihan Harris. Kehadirannya hanyalah sebagai pilihan kedua dan semata-mata demi untuk menyelamatkan maruah dua buah keluarga.
Demi menyelamatkan maruah keluarganya, dia memekakkan telinga dengan kata-kata teman sekeliling. Ada yang menuduhnya perempuan materialistik. Tidak kurang juga yang menggelarnya perampas. Malah tentangan daripada mertuanya, Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora juga sanggup ditempuhi dengan sabar. Semakin ditentang, semakin kuat tekadnya untuk mempertahankan bahtera rumah tangga walaupun nyata hanya dia seorang sahaja yang berjuang.
Sangkanya dia mampu mengecap bahagia bersama Harris. Duganya cinta yang tiada bisa bertunas usai terucap lafaz sakinah. Ternyata dia silap percaturan. Semakin lama kebahagiaan itu makin menjauh untuk digapai. Biarpun seteguh mana dia cuba bertahan. Biarpun Hajah Mariah tidak pernah jemu menitipkan sokongan dan menjadi nadi kekuatan buat dirinya. Namun andai tiada tersurat untuk dia memiliki bahagia bersama Harris, dia harus reda dan akur dengan takdir itu.
‘Aisy menghela nafasnya panjang. Terdetik rasa rindu di hati terhadap Hajah Mariah, wanita tua yang penuh dengan kelembutan dan tidak pernah lokek dengan kasih sayang.
Empat tahun dia terputus hubungan dengan Hajah Mariah. Bukannya dia tidak pernah merisik khabar wanita itu sewaktu berada di England. Pernah beberapa kali dia cuba menelefon ke kediaman keluarga Harris. Rindu di hati menggamit keinginan untuk mendengar suara Hajah Mariah yang sudah dianggap seperti neneknya sendiri. Namun entah di mana silapnya, setiap kali dia menelefon pasti yang menyambut panggilannya adalah Harris, insan yang ingin dihindarinya. Bukan sekali dua dia terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti itu. Sudahnya, dia tidak lagi berani menghubungi Hajah Mariah. Dari kejauhan dia hanya mampu memendam rasa rindu itu sendiri.
Ting Tong! Gema bunyi loceng yang nyaring mengejutkan ‘Aisy dari lamunannya yang panjang. Hampir sahaja dia menjerit tatkala menyedari tangan Harris menjalar di atas bahunya. Entah bila Harris telah berkalih tempat duduk di sebelahnya.
“Harris! Jangan buat saya terperanjat boleh tak?” Marah ‘Aisy sambil merenggangkan pautan tangan Harris di bahunya. Harris tertawa kecil.
“Rupanya isteri abang ini suka mengelamun ya. Padanlah tak berkelip tenung abang dari tadi. Apa yang sayang angankan tentang abang?” Bisik Harris nakal sambil tersenyum simpul. 
“Perasan!” Gumam ‘Aisy. Dia mengetap bibir sambil menahan rasa bahang yang menerpa ke wajahnya. Malu kerana dia begitu ralit tenggelam dalam kenangan.
“Sayang berangan bercinta dengan abang ya?” Usik Harris semakin galak menggiat ‘Aisy.
“Tak kuasa saya nak berangan fasal awak.” Balas ‘Aisy menepis usikan Harris. Senyum simpul Harris membuatkan dia makin tidak keruan.
“Awak tak nak tengok ke siapa yang datang tu?” Soal ‘Aisy sebaik loceng berbunyi buat kali kedua.
“Pandai sayang mengelat ya. Tak apa, this time you are saved by the bell.” Tutur Harris sambil mencuit mesra hidung mancung ‘Aisy. Dia bangkit mengatur langkah ke arah pintu utama.
‘Aisy menyandarkan tubuhnya ke belakang sofa. Dia mengeluh lega. Entah macam mana dia boleh terleka tadi. Tekaknya terasa haus. Tidak berminat untuk mengetahui siapa tetamu yang datang, ‘Aisy bingkas bangun menuju ke ruang dapur.
“Sayang, tengok siapa yang datang ni!”
Laungan ceria Harris menghentikan langkah ‘Aisy. Dia memalingkan wajahnya tercari-cari kelibat yang dimaksudkan Harris. Saat terpandangkan seraut wajah tua yang sudah berkedut seribu, matanya berkaca bening.
“Nenek!”
‘Aisy segera menerpa dan memeluk tubuh tua Hajah Mariah. Kedua belah pipi Hajah Mariah dikucup bertalu-talu. Terlerai segala rindu yang bersarang di jiwa.
“’Aisy. Sayang cucu nenek. Nenek rindu sangat pada kamu.” Ucap Hajah Mariah terketar-ketar sambil membalas pelukan ‘Aisy. Air mata Hajah Mariah gugur menangisi kerinduan yang sarat ditanggung.
“’Aisy pun rindukan nenek. Rindu sangat-sangat.”
Mutiara jernih turut membasahi pipi ‘Aisy. Wajah Hajah Mariah ditatap dengan penuh rasa kasih. Empat tahun batas waktu yang memisahkan banyak merubah fizikal Hajah Mariah. Wanita itu kelihatan sudah tidak sekuat dahulu. Garis kedutan juga makin bertambah. Tetapi cahaya ketenangan di wajah itu tetap sama. Tetap memberikan rasa damai setiap kali dia memandangnya.
“Papa apa khabar?” Tanya ‘Aisy sambil menyalami Tan Sri Hakim.
“Alhamdulillah..sihat.” Balas Tan Sri Hakim sambil tersenyum mesra. Kepala ‘Aisy yang bertudung diusap lembut.
“Mama sihat?” Sapa ‘Aisy seraya tunduk mencium tangan Puan Sri Nora pula. Rasa hormat pada kedua mertuanya masih ada biarpun mereka tidak pernah mempedulikan kehadirannya sebagai menantu dalam keluarga mereka.
“Hmm..sihat.” Jawab Puan Sri Nora pendek sambil melemparkan segaris senyuman nipis.
Tidak pasti senyuman itu tanda kemesraan atau sinis semata. Ikhlas kah atau hanya sekadar berpura-pura di hadapan Hajah Mariah? Kenangan lalu membuatkan ‘Aisy menanam prasangka. Namun cepat-cepat dia beristighfar menyedari kedangkalan hatinya.
“Sampai hati kamu tak datang jenguk nenek. Dahlah ke London senyap-senyap. Bila dah balik ke sini pun kamu menyepikan diri. Kamu dah lupa pada nenek ya?” Luah Hajah Mariah sayu. Meskipun hati tuanya sedikit terkilan dengan tindakan ‘Aisy, namun dia tidak pernah meletakkan kesalahan di pundak cucu menantunya itu.
“’Aisy minta maaf, nek. Bukan niat ‘Aisy tak nak datang melawat nenek cuma keadaan waktu ini tak mengizinkan. ‘Aisy tak pernah lupakan nenek, tapi…”
‘Aisy kematian kata. Buntu untuk mencipta alasan. Biarpun hatinya begitu kepingin untuk menjenguk Hajah Mariah sebaik dia menjejakkan kaki di Malaysia, namun kerana hendak mengelakkan diri daripada Harris dia hanya mampu memendamkan saja hasratnya itu.  
“Nenek tahu, kamu marah dengan Harris kan? Sampai bawak rajuk jauh ke London. Nenek minta maaf sebab Harris gagal membahagiakan kamu.” Pohon Hajah Mariah sebak membuatkan ‘Aisy semakin kehilangan bicara.
Memang benar dia merajuk dan berdendam. Rajuk yang membawanya jauh daripada kasih sayang Hajah Mariah yang tidak pernah jemu melayannya seperti cucu kandung sendiri. Dendam yang memaksanya hanya mampu merindui belaian wanita tua itu dari jauh. Rajuk dan dendam yang menuntut pengorbanan setiap insan yang dia sayang. Kejam kah dia kerana terlalu menurut rasa hati?
“Tak adalah, nenek. Tak ada kaitan dengan abang Harris pun. ‘Aisy ke sana kan sebab nak sambung belajar.”
‘Aisy menyangkal kata-kata Hajah Mariah sambil menggelengkan kepalanya perlahan. Dia menggenggam tangan Hajah Mariah cuba meyakinkan wanita itu. Walaupun nyata alasan itu kedengaran begitu ampuh. Biarlah dia saja yang menelan segala lara seandainya penafiannya itu mampu membuatkan Hajah Mariah tersenyum. Tidak sanggup menambahkan kegusaran di hati Hajah Mariah yang semakin dimamah keuzuran itu.
“Jangan tipu nenek, ‘Aisy. Harris dah ceritakan semuanya pada nenek. Cucu nenek itu memang tak sedar di untung. Nenek malu dengan kamu, ‘Aisy. Nenek malu dengan apa yang Harris dah buat pada kamu.” Tingkah Hajah Mariah penuh kesal dalam tangisan. Matanya yang berkaca sempat menangkap kesan parut sepanjang lima inci di pergelangan tangan ‘Aisy. Hatinya semakin hiba.
“Parut ini disebabkan kemalangan tu kan?” Hajah Mariah menyoal dalam sebak. Dia mengusap parit itu perlahan. Itu baru sahaja parut yang terlihat di tangan. Bagaimana dengan parut luka yang tersembunyi di hati ‘Aisy? Pasti tidak tergambar kepedihan yang terpaksa dilalui ‘Aisy saat dikhabarkan tentang kehilangan zuriat yang sedang dikandunginya. Tidak terbayang kesakitan yang terpaksa ditanggung wanita muda itu.
‘Aisy menelan liur pahit. Dia menganggukkan. Serba salah.
“Nenek tak faham dengan kamu, Harris. Bukankah nenek selalu pesan pada kamu. Kawal rasa marah tu. Jangan bertindak ikut perasaan. Berpuluh anak syarikat kamu mampu urus dengan baik. Tapi isteri kamu hanya seorang, Harris. Itu pun kamu tak mampu nak jaga dengan baik. Tengoklah apa yang kamu dah buat pada ‘Aisy ni.” Marah Hajah Mariah.
Harris hanya mampu menundukkan wajah. Dia tahu semua yang terjadi berpunca dari kesilapannya sendiri. Kesal. Hanya itu perkataan yang mampu menggambarkan apa yang dia rasa selama ini.
“Bukan salah abang Harris, nek. ‘Aisy pasti abang Harris pun tak nak kemalangan tu berlaku. Dah ditakdirkan ‘Aisy berada di situ pada tempat dan waktu yang salah.”
‘Aisy mengukirkan senyuman kelat. Dia sendiri tidak menyangka mampu melafazkan kata-kata itu. Kesakitan yang dirasai setiap kali mengingati kemalangan yang telah meragut seluruh kebahagiaannya bagaikan tiada. Reda kah dia kini? Dia masih tercari-cari jawapan yang pasti.
Harris mengangkat mukanya memandang tepat ke arah ‘Aisy. Matanya berkaca. Terharu dengan kata-kata yang dituturkan ‘Aisy. Separuh beban kekesalan yang sarat tergalas di bahunya bagaikan hilang.
“Dahlah tu mak. Mak dah buat ‘Aisy dan Harris serba salah tu. Lagipun ‘Aisy dah balik kan. Mak pun tahu betapa Harris menyesal dengan tindakannya dulu. Tak elok kita terus kenang perkara yang dah jadi.” Sela Tan Sri Hakim yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.
“Betul cakap papa tu, nek. Kita lupakan cerita sedih ni ya. Lagipun buruk tau orang tua menangis.” Pujuk ‘Aisy sambil mengesat air mata yang tumpah di pipi tua itu. Sempat dia mengusik Hajah Mariah membuatkan wanita tua itu tersenyum pahit.
“Pandai kamu pujuk nenek, ya.” Tutur Hajah Mariah kembali tenang.
‘Aisy melemparkan senyum. Biarlah semuanya kemas disimpan sebagai sejarah. Dia sendiri sudah penat menangis. Jauh di lubuk hatinya yang paling dalam, dia juga sedang berusaha mengikis segala kenangan pahit yang pernah menjengah hidupnya.
“Kenapa kita semua tercegat kat sini ya? Jom, kita duduk dulu. Mari, papa, mama.” Pelawa ‘Aisy sopan dengan nada suara yang diceriakan. Ingin membuang jauh kesedihan yang dirasakan menyelubungi segenap suasana.
‘Aisy memimpin tangan Hajah Mariah ke ruang tamu. Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora hanya menurut dari belakang. Cuma Harris yang masih berdiri kaku dengan pandangan matanya yang masih tidak berkelip merenung wajah ‘Aisy.
“Mari, Harris.” Tan Sri Hakim menepuk-nepuk bahu anak lelaki tunggalnya. Dia mengerti keresahan yang sedang dirasakan Harris. Lambat-lambat Harris mengatur langkah.
“’Aisy nak pergi mana?” Hajah Mariah menyoal sebaik dia melabuhkan duduk di atas sofa.
“Err, ‘Aisy nak ke dapur sekejap. Buat air.” Beritahu ‘Aisy tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Nantilah buat air tu. Nenek tak puas lagi nak tengok kamu ni. Berbual-bual dengan kamu.” Halang Hajah Mariah.
“Mari duduk sebelah nenek ni.” Pinta Hajah Mariah sambil menepuk lembut sofa kosong di sebelahnya.
‘Aisy tersenyum lalu melabuhkan duduk di sisi Hajah Mariah. Tidak sampai hati untuknya menghampakan permintaan wanita tua itu.
“Nenek sayang sangat-sangat pada ‘Aisy. Rindu sangat-sangat.” Ungkap Hajah Mariah memaknakan perasaannya. Dahi ‘Aisy dikucup lembut.
“Syukur Allah masih berikan nenek kesempatan untuk bertemu dengan kamu, ‘Aisy. Kalau ditakdirkan nenek tutup mata lepas ini, nenek dah tak ralat.” Nada suara Hajah Mariah berubah lirih. Dia menggenggam erat tangan ‘Aisy. Genggaman yang terkandung bersama rasa simpati dan sesal. Simpati dengan keperitan yang terpaksa ditempuhi oleh wanita muda ini dan sesal kerana keperitan itu berpunca daripada perbuatan darah dagingnya sendiri.
“Kenapa nenek cakap macam tu? Ajal dan maut ini tak mengenal usia. Entah-entah ‘Aisy yang dijemput dulu mengadap Dia.” Sangkal ‘Aisy membalas genggaman Hajah Mariah.
“Insya-Allah, nenek sentiasa doakan ‘Aisy dipanjangkan umur dan semoga cucu nenek ini sentiasa berada dalam rahmat-Nya.” Ucap Hajah Mariah penuh harapan. Itulah doa yang tidak jemu dipanjatkan setiap kali usai solat. Untuk melihat kebahagiaan ‘Aisy bersama Harris.
“’Kenapa nenek dan ‘Aisy cakap fasal mati ni? Abang tak suka sayang cakap macam tu.” Tiba-tiba Harris bersuara dengan wajah yang sedikit tegang. Jelas dia tidak selesa dengan perbualan antara isteri dan neneknya itu.
“Mati itu kan pasti. Kita semua datang daripada Pencipta kita. Dan apabila sampai masanya, kita akan kembali kepada Dia juga. Apa yang kita ada, nikmat yang kita rasa semuanya adalah pinjaman dari-Nya. Hidup kita ini adalah sebuah perjalanan yang pasti akan ada tarikh perhentiannya.” Luah ‘Aisy.
Bicara soal kematian pasti mengundang keinsafan di jiwanya. Dia pernah melalui saat getir bertarung nyawa akibat dilanggar lari. Waktu itu bukan sahaja satu nyawa di rahimnya yang diambil, malah nyawanya sendiri hampir melayang akibat pendarahan dalaman yang serius. Mujurlah dia masih diberikan kesempatan untuk menyedut nafas di bumi Tuhan ini.
“Betul cakap ‘Aisy tu, Harris. Mengingati mati itu kan dituntut dalam Islam. Mudah-mudahan kita tak terus leka dengan keindahan dunia saja. Sesetengah manusia ni sanggup membelakangi hukum agama untuk memuaskan kehendak nafsu. Halal dan haram langsung dah tak dipedulikan.” Sahut Hajah Mariah kedengaran sedikit sinis. Entah kenapa butir kata itu bagaikan tersirat seribu makna di sebaliknya.
‘Aisy perasan perubahan pada wajah Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora. Sempat dia menangkap jelingan tajam Puan Sri Nora dan wajah suram Tan Sri Hakim. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang disembunyikan.
“Err, ‘Aisy ke dapur sekejap ye. Nak buat air.” ‘Aisy meminta diri. Dia melangkah ke dapur.
‘Aisy menjerang air di dalam cerek. Biarpun agak kekok dengan setiap susun atur barang di dapur itu, terpaksalah dia menyesuaikan diri kerana status seorang isteri yang dipegangnya. Sekurang-kurangnya untuk menjaga maruah rumah tangga dia dan Harris di hadapan tetamu yang datang. Biarpun ikatan yang ada bagaikan retak menanti belah.
“Lain kali jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka dengar.”
Suara Harris yang datang dari arah belakang benar-benar menyentak ‘Aisy. Dadanya diurut perlahan untuk meredakan rentak jantung yang berdegup kencang.
“Awak ni suka sangat buat saya terperanjat. Boleh mati terkejut saya kalau macam ni.” Tingkah ‘Aisy sambil memusingkan badannya untuk berhadapan dengan Harris. Dia langsung tidak perasan kelibat Harris yang mengekorinya ke dapur.
“Sekali lagi sayang ungkit fasal mati, tahulah macam mana abang nak diamkan mulut sayang tu.” Harris mengugut. Suaranya bernada tegas.
“Kenapa pula nak lari dari kenyataan? Mati adalah suatu hakikat, Harris.” Tingkah ‘Aisy tidak menghiraukan tegahan Harris. Sengaja mencabar Harris yang semakin mampir padanya.
“Hidup dan mati semuanya sudah tersurat di Loh Mahfuz. Kenapa perlu takut nak cakap soal mati…” Kelancaran tutur kata yang keluar dari mulut ‘Aisy segera dipangkas Harris. Dia tergamam apabila bibir Harris menyentuh bibirnya.
Don’t say I didn’t warn you.” Sela Harris sebaik dia mengangkat wajahnya sedikit menjauh.  Tangan lelaki itu mengelus lembut pipi ‘Aisy.
‘Aisy terkaku. Entah kenapa dia bagaikan tidak mampu untuk menolak tindakan berani Harris. Sentuhan sensual itu menjalarkan rasa hangat di segenap wajahnya. Sentuhan yang mengundang debar yang cukup hebat di dada.
 “Abang belum bersedia, sayang. Belum bersedia untuk kehilangan sayang dalam hidup abang. Terlalu banyak kesilapan abang pada sayang yang belum abang tebus. Tak terhitung dosa abang terhadap sayang yang belum terampun.” Nada suara Harris berlagu sayu. Terkesan riak gundah pada seraut wajah yang selama ini sentiasa mempamerkan riak tenang.
“Abang sedar tentang hakikat kematian. Abang tahu abang tak punya kuasa nak mengubah takdir. Biarpun sekuat mana abang halang atau tepis. Tapi abang takkan jemu berdoa dan berusaha. Berdoa semoga sebelum tiba saat itu abang masih memiliki ruang dan waktu untuk terus bersama sayang. Diberi kesempatan untuk membahagiakan isteri abang ini. Diberi peluang untuk bersama-sama dengan sayang mencari Jannah ALLAH.” Harris menyambung kata-katanya. Tunak bebola matanya merenung tajam ke dalam mata ‘Aisy.
Kata-kata romantis dan renungan lembut Harris membuat ‘Aisy semakin tidak keruan. Dia memalingkan tubuhnya kembali membelakangi Harris. Tidak sanggup untuk terus beradu pandang dengan lelaki itu. Tipulah andai hatinya tidak terusik dengan bait-bait ayat yang meniti di Harris. Bohonglah kalau dia tidak ingin sama mengecap bahagia dalam rumah tangga. Impian yang pasti dipunyai oleh setiap isteri. Tetapi memilih untuk mencari bahagia bersama Harris bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.  
Cerek air yang berbunyi nyaring segera dimatikan apinya. ‘Aisy berdeham beberapa kali mengharapkan sedikit ketenteraman buat hatinya yang sedang kacau-bilau menahan gelodak rasa.
“Err..Saya nak bancuh air. Ada milo tak kat dapur ni?” Soal ‘Aisy kalut mengalih topik. Dia tidak boleh membenarkan Harris berterusan mencurahkan isi hati. Bimbang hatinya tidak kuat untuk terus menepis. Perisai yang dibina untuk melindungi hatinya bukanlah sekuat mana.
Kekalutan ‘Aisy membuatkan Harris menyimpul senyum. Tubuh isterinya didekati. Langsung tidak dihiraukan pertanyaan ‘Aisy.
“Sayang tahu tak sayang comel bila kalut macam ni? You really make me crazy, sayang. ” Bisik Harris perlahan.
Oh Tuhan! Dapat dirasakan tubuh Harris begitu rapat dengannya sehingga desah nafas lelaki itu jelas menyapa cuping telinganya. Debaran di dada ‘Aisy semakin kencang. Telapak tangannya ditekapkan ke dada. Bimbang Harris dapat mendengar degupan itu. Sungguh hatinya semakin tidak keruan.
 “Err..awak letak kat mana container milo?” ‘Aisy mengulangi pertanyaan dalam suara yang bergetar. Dia melilau pandangan ke arah deretan container yang tersusun kemas di depannya. Matanya tercari-cari bekas berisi serbuk milo. Namun dia gagal memusatkan perhatiannya. Segala tindakannya bagaikan tidak kena. Seram sejuk jari-jemarinya apabila tangan kasar Harris mula memaut pinggangnya dari belakang.
“Hmm..ubah topik lagi.” Getus Harris sambil melepaskan tawa nipis. Namun pelukannya semakin dieratkan apabila dirasakan tiada penolakan daripada ‘Aisy.
“Harris, saya nak buat air ni.” Beritahu ‘Aisy lemah. Saat itu dia bagaikan sedang kalah dengan godaan Harris.
“Buatlah. Abang tak halang pun kan?” Usik Harris membuatkan perasaan ‘Aisy semakin galau. 
“Tapi, mana milo nya? Awak kan tahu nenek tak minum air lain kecuali milo.” Tekan ‘Aisy.
“Abang tak sangka pula yang isteri abang ini rabun dekat rupanya. Container yang kat depan sayang ni bukan milo ke?” Harris mendorong tubuhnya sedikit ke depan untuk mencapai container yang betul-betul terletak di hadapan ‘Aisy. Keadaan itu membuatkan kedudukan mereka semakin rapat. Langsung mengunci pergerakan ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir menahan malu. Wajahnya semakin pijar. Macam mana dia boleh tidak nampak container yang berada di hadapannya?
“Boleh tak awak lepaskan tangan awak. Saya nak buat air ni.” ‘Aisy mengeraskan suaranya sambil cuba meleraikan rangkulan kemas Harris. Namun semakin kejap pula pelukan Harris. Dia cuba berlagak biasa biarpun rasa malu di wajahnya sudah tebal berinci-inci.
“Awak!” ‘Aisy merengus geram. Namun Harris tetap begitu.
One minute, sayang. Give me just one minute to feel this moment. To feel your warm body next to me. I really miss you, sayang.” Desis Harris romantis.
‘Aisy terkesima. Tanpa sedar dia turut tenggelam dalam kehangatan sentuhan Harris. Sentuhan yang seakan mengalirkan arus elektrik terus ke jantung. Ada rasa indah yang menjalar di seluruh urat nadinya.
Thanks.” Suara lembut Harris membuatkan ‘Aisy kembali tersedar. Perlahan-lahan Harris melepaskan rangkulan tangannya yang erat melingkar di pinggang ‘Aisy.
Beberapa saat ‘Aisy masih berada dalam keadaan kaku sebelum tangannya mula bergerak mencapai container yang berisi serbuk milo. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia membancuh air. Tidak sedikit pun dia mampu mengangkat wajahnya. Debaran di dada masih berdetak kuat membuatkan segala pergerakannya canggung. Tenanglah wahai hati.  Dia menarik nafas dalam.
Buat seketika hanya kesepian yang mengisi ruang kekosongan di antara mereka. Masing-masing melayan perasaan. Mungkin masih terkesan dengan sentuhan hangat tadi.
Harris menuju ke arah kabinet dapur di sebelah kanan dan mengeluarkan satu set cawan vantage. Tangkas dia mengambil dan menyusun cawan tersebut di atas dulang.
Dalam diam, gerak-geri Harris menarik perhatian ‘Aisy. Terdetik rasa kagum di hatinya. Jika dulu, jangan harap Harris akan menjengah ke dapur untuk sama-sama membantunya. Harris hanya akan duduk menunggu di hadapan meja makan sambil menyiapkan kerja pejabat. Mengharapkan semuanya disiapkan dan dihidangkan untuknya.
‘Aisy menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba mengusir rasa indah yang mula mengusik tangkai hatinya. Tidak mahu hatinya tertawan dengan kebaikan yang dipamerkan Harris.
“Biar abang bawa air ni ke depan. Sayang tolong potongkan kek buah dalam peti ais ya.” Pinta Harris sekali lagi membuatkan ‘Aisy terpaku. Kelembutan pada suara itu cukup membuatkan hatinya terkesan. Mana perginya Harris yang dulu lebih suka mengarahnya dengan suara yang kasar.
Teko yang berisi penuh dengan air milo diletakkan di atas dulang oleh Harris.
“Boleh ya, sayang?” Sekali lagi soalan diajukan apabila ‘Aisy hanya bungkam tanpa memberikan sebarang tindak balas. Harris menguntum senyum.
“Err..oo..okay.” Tergagap-gagap ‘Aisy membalas.
“Terima kasih, sayang.” Ucap Harris sambil mencuit hidung ‘Aisy. Harris mula bergerak ke ruang tamu namun hanya beberapa langkah apabila dia tiba-tiba memusingkan badannya kembali.
By the way, abang cemburu sangat tengok ‘Aisy cium nenek tadi. I hope one day I could have those sweet kisses too. Dengan kerelaan sayang. Tak perlu lagi abang curi-curi cium sayang macam tadi.” Tutur Harris nakal sambil mengenyitkan matanya. Dia kemudiannya berlalu ke ruang tamu bersama dengan minuman sambil meledakkan tawa.
Sekali lagi wajah ‘Aisy menjadi panas.
“‘Aisy, Kenapa dengan kau ni? Wake up..” Marah ‘Aisy pada dirinya sendiri apabila kelibat Harris hilang dari pandangan. Jika dia berterusan begini, hatinya pasti akan lebih teruk terluka kelak.
Setelah menenangkan dirinya, ‘Aisy kembali ke ruang tamu bersama sepinggan kek buah. Diperhatikan minuman yang dibawa oleh Harris masih berada di dalam dulang. Dengan sopan ‘Aisy menghulurkan cawan kepada setiap tetamu dan juga Harris.
Thanks, sayang.” Sebuah senyuman menawan dihadiahkan Harris kepadanya. Sengaja ‘Aisy tidak menghiraukan ucapan itu. Segan juga dia apabila Harris terang-terangan memanggilnya sayang di depan keluarga mertuanya.
Harris menarik tangan ‘Aisy untuk duduk di sisinya. ‘Aisy tiada pilihan dan akhirnya dia melabuhkan punggung di atas set sofa dua tempat duduk itu, di sebelah suaminya.
“Jemputlah makan kek ni, nenek. Kek kegemaran nenek ni kan? Tapi nenek tak boleh makan banyak sangat tau. Nanti tak fasal-fasal gula dalam darah nenek naik. Kesihatan kena jaga juga.” Pelawa ‘Aisy sambil menitipkan pesanan. Hajah Mariah hanya ketawa senang. Sudah lama dia tidak mendengar bebelan daripada bibir mungil itu.
“Ingat lagi ‘Aisy pada kek kesukaan nenek ni ya.” Ujar Hajah Mariah berbesar hati. ‘Aisy memang pandai mengambil hatinya sejak dari dulu. Kesabaran dan kelembutan yang ada pada ‘Aisy memikat hati tuanya untuk menyunting gadis itu sebagai isteri kepada Harris, satu-satunya cucu lelaki tunggal yang dia ada.
“Papa, mama. Jemput minum ya.” Pelawa ‘Aisy lagi sekali kepada kedua-dua ibu bapa mertuanya yang lebih banyak mendiamkan diri. Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora hanya mengangguk. ‘Aisy perasan riak kegelisahan pada wajah kedua mertuanya seperti ada menyimpan sesuatu.
“’Aisy ke yang buat kek ini?” Hajah Mariah bertanya sambil mengambil dan merasa sepotong kek yang dihidangkan.
“Tak adalah, nenek. Abang Harris belikan.” Sangkalnya tanpa berselindung.
“Harris beli dekat Tesco, nenek. ‘Aisy ni mana ada masa nak masak. Sibuk memanjang dengan kerja. Sampaikan Harris pun dia tak peduli.” Adu Harris membuatkan ‘Aisy menjelingnya tajam. Faham benar dengan ayat perli yang dituturkan Harris itu.
“Betul ke ni, Harris? Setahu nenek, selama ini kamu tu yang sibuk. Entah-entah kamu tu yang selalu tinggalkan ‘Aisy tak? Bukannya nenek tak tahu perangai gila kerja kamu tu. Kerja tu isteri kamu nombor satu kan.” Sindir Hajah Mariah membuatkan wajah Harris sedikit berubah. ‘Aisy menyembunyikan senyum dengan kata-kata Hajah Mariah yang terangan mempertahankannya.  
“Itu Harris yang dulu. Sekarang tak mungkin Harris akan tinggalkan ‘Aisy lagi, nek. Apa yang telah berlaku cukup menyedarkan Harris. Betapa berharga nya kehadiran ‘Aisy dalam hidup Harris. I really need her, nenek. For the rest of my life.” Tingkah Harris sepenuh perasaan sambil matanya tunak memandang ke arah ‘Aisy. Tindakan berani Harris berterus terang di hadapan keluarganya membuatkan senyuman ‘Aisy mati. Dia menundukkan wajah.
“Baguslah kalau Harris fikir macam tu. Jangan persiakan hidup ‘Aisy lagi. Apa yang berlaku jadikan pengajaran. Usaha sungguh-sungguh untuk perbaiki balik apa yang silap selama ini. Nenek tahu Harris seorang ketua yang berkaliber di pejabat. Dan Harris juga adalah pemimpin dalam rumah tangga Harris sendiri. Tetapi tugas memimpin isteri tidak sama dengan cara kita memimpin pekerja. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Yang perlu dihargai dan disayangi kerana dia adalah pemilik tulang rusuk suami.”
Harris menganggukkan kepalanya mendengar setiap kata nasihat yang diberikan Hajah Mariah. Dia telah banyak melakukan kesilapan dan dia sendirilah yang perlu memperbetulkan segala-galanya.
“Insya-Allah, nenek. Harris tak akan berputus asa.” Azam Harris sambil menggenggam erat jari-jemari ‘Aisy.
“Seorang suami kena banyak bersabar. Kena bijak mengawal baran tu. Lelaki diberi sembilan akal. Gunakan sembilan akal itu untuk menepis rasa marah. Jangan kalah dengan satu nafsu.” Tambah Hajah Mariah.
Sikap baran Harris yang sukar dikawal itulah yang merunsingkannya. Disebabkan itu jugalah hatinya yakin untuk menjodohkan Harris dan ‘Aisy. Sangkanya kelembutan dan kesabaran yang dimiliki ‘Aisy mampu meneutralkan baran Harris. Tetapi sebaliknya yang berlaku. ‘Aisy akhirnya menjadi mangsa baran Harris.
“Harris sedang berusaha, nek.” Beritahu Harris. Biarpun bukan mudah untuk dia terus mengikis sepenuhnya sikap baran yang sudah sebati dalam dirinya, namun dia tidak pernah jemu untuk berubah menjadi lebih baik.
Hajah Mariah mengangguk perlahan. Dalam hati dia mengucapkan syukur melihat Harris yang sudah banyak berubah. Siapa sangka kuasa cinta bisa mencairkan hati cucunya yang kering selama ini.
“Kalau macam tu, untuk langkah pertama ni, apa kata kalau kamu berdua pergi bercuti bersama.” Cadangan Hajah Mariah membuatkan ‘Aisy mengangkat wajahnya.
“Taa..tapi..” ‘Aisy ingin membantah cadangan itu tetapi entah kenapa kata-katanya bagaikan tersekat di kerongkong. Melihat wajah Hajah Mariah yang teruja menjadikannya tidak sampi hati.
“Bagus juga cadangan nenek tu. Sayang, kita pergi bercuti ya. Lagipun, kita belum pernah lagi berbulan madu kan? Sayang beritahu saja nak pergi mana. Abang akan usahakan.” Harris menyambut baik cadangan yang diusulkan Hajah Mariah.
“Err.. mana-mana saja, saya tak kisah. Saya ikut saja.” ‘Aisy hanya mampu menghadiahkan senyuman kelat.
“Okay, kalau macam tu abang rasa abang tahu ke mana nak bawa ‘Aisy.” Beritahu Harris dalam nada yang cukup ceria. Tidak sabar dia hendak menghabiskan masa berdua bersama dengan ‘Aisy.
Thanks, sayang.” Bisik Harris tidak segan silu menunjukkan kemesraannya.
“Seronok nenek tengok kamu berdua. Kalau macam ni, tak lama lagi dapatlah nenek menimang cicit pula ya. Jangan tunggu lama-lama. Kamu berdua pun bukannya muda lagi.” Bicara Hajah Mariah gembira. Sinar mata Hajah Mariah jelas memancarkan pengharapan.
Berubah riak wajah ‘Aisy. Spontan tangan kirinya mengusap perut kempisnya yang dulu pernah dihuni oleh satu nyawa. Masih kah ada kesempatan buatnya untuk merasai pengalaman indah itu? Hatinya mengeluh berat.

“Insya-Allah, nenek.” Balas Harris sambil menggenggam erat tangan ‘Aisy. Seakan faham dengan kegelisahan yang dirasai oleh isterinya. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar mengharapkan ‘Aisy menerimanya sebagai suami seperti dulu. Suami yang sentiasa dibelai dengan kehangatan cinta seorang isteri setia bernama Rahadatul ‘Aisy.

3 comments:

Tinggalkan jejak anda..