Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Temuduga Cinta Prolog




Patah-patah kata yang ditaip kemas pada sekeping kertas putih itu ku tenung bagai nak tembus. Berulang-ulang kali ayat itu ku baca.

Harap maaf. Permohonan anda tidak berjaya.

“Aduii..kau gagal lagi, Qurratul 'Ain!” Aku mengeluh. 

Kertas putih itu ku renyuk geram. Lalu aku gumpal menjadi bulat dan ku humbankan ke dalam bakul sampah. Masuk kali ini sudah lima permohonan kerja ku gagal. Ada ijazah pun bukannya jaminan untuk dapat pekerjaan. Yalah, semuanya nak cari pekerja yang dah berpengalaman. Jadi, graduan segar a.k.a fresh graduate macam aku ni siapa yang nak ambil kerja?

Tubuhku rebahkan di atas tilam usang. Dengan tangan yang melekat di atas kepala, aku memerhatikan sekeliling bilik tidur ku yang berkeluasan 64 kaki persegi itu. Bilik yang telah ku sewa hampir enam bulan yang lalu dengan nilai dua ratus ringgit sebulan.

Aku hulurkan tangan ke bawah bantal kekabu yang menjadi alas kepala ku. Buku bank Maybank yang ku letak di bawah bantal ku capai.

“19.90.” Bulat mata ku melihat baki wang simpanan ku. Tak sangka, dalam berbilion-bilion duit manusia yang disimpan di bank, bahagian aku cuma tinggal 19.90 je? Macam mana aku nak teruskan kelangsungan hidup dengan baki sebanyak ini?

Aku menggaru kulit kepala yang tiba-tiba gatal. Mesti dah berkerak dengan kelemumur. Hampir dua minggu rambut hitam ku ini tidak dicuci gara-gara aku kehabisan stok syampu Rejoice-guna jari pun boleh. Nak beli baru memang sah aku tak mampu dengan baki wang yang aku ada itu. Silap hari bulan perut sendiri pun aku hanya mampu cuci dengan air paip keluaran SYABAS saja.

Arghh..tak boleh jadi ni. Aku perlu lakukan sesuatu. Walau macam mana sekalipun aku perlu dapatkan duit. Aku perlu keluar dari kepompong kemelesetan ekonomi yang kronik ini. Duduk termenung dalam bilik sempit ini bukan boleh buat duit keluar dari atas syiling pun. Desis ku di dalam hati.

Buku bank yang masih di tangan ku campakkan ke tepi. Aku bingkas bangun menapak ke almari kain. Sepasang baju kurung kapas dengan corak polka dot yang bersangkut ku ambil. Baju yang ku beli hasil duit biasiswa ku itu ku bawa ke hidung dan harumannya ku cium. Mujur baunya neutral. Tak wangi dan tak juga hapak. Akibat sabun buku Fab Perfect-saya-tak-perlu-sental-lagi yang dah makin menipis, aku terpaksa berjimat-cermat ketika mencuci pakaian.

Aku menyarung baju kurung tersebut ke tubuh. Warna kelabu yang melatari baju itu tampak sedikit lusuh. Mana tak lusuhnya kalau aku hanya ada lima pasang baju kurung yang terpaksa aku gilirkan setiap hari. Kemudian aku capai kain tudung putih yang dah berubah warna kekuningan lalu ku lilitkan di kepala.

Wajah ku yang kelihatan kusam ku tempek sedikit dengan bedak nyonya. Sikit saja cukuplah sebab bukannya aku nak pergi buat pertunjukan opera cina. Aku mengetap bibir ku yang ku oles dengan gincu Mekah yang berwarna hijau. Sekelip mata warna bibir ku bertukar mengikut warna darah dan kelihatan sedikit segar.

Setelah berpuas hati dengan penampilan ku yang serba ringkas, aku menapak ke pintu bilik. Sebelum tombol pintu dipulas, aku capai beg kain lalu ku galaskan menyilang tubuhku.

“Bismillahirrahmanirrahim…” 

Aku memulakan langkah dengan mengayun kaki kanan. Meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki Tuhan. Kali ini aku tak peduli. Apa-apa kerja yang halal aku akan terima. Yang penting, hujung bulan ini aku mempunyai gaji. Kalau tidak bersiap sedialah untuk berumah di bawah titi!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda..